Kelab Singapura intai peluang sambar bintang Terengganu FC?


  • Podium
  • Rabu, 27 Nov 2024

Terengganu kini menduduki tangga keempat Liga Super.

SELEPAS penamatan kontrak pemain Croatia, Marin Pilj, kini Terengganu FC hanya mempunyai lima bintang import untuk meneruskan perjuangan Sang Penyu sehingga penghujung musim ini.

Perkara ini dilihat memberikan sedikit kekurangan buat Terengganu yang mahu mengejar Selangor FC bagi merebut tempat kedua Liga Super musim 2024-2025.

Kedudukan Terengganu yang masih belum mengumumkan ketua jurulatih baharu juga menimbulkan banyak persoalan kepada penyokong-penyokong Sang Penyu.

BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan TMJ 'loan' 3 import tepat, prestasi semasa jadi ukuran 'booking' slot di JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid bangga pasukan beri 100 peratus, Melaka FC yakin masih mampu cipta kejutan

Terbaharu, keresahan peminat setia skuad Terengganu mengenai desas-desus kemungkinan Nurillo Tukhtasinov bakal 'angkat kaki' meninggalkan pasukan itu akhirnya terjawab.

Terengganu secara rasminya mengumumkan Nurillo akan terus kekal menjadi sebahagian penting buat mereka di pentas Liga Malaysia (Liga M) sehingga musim akan datang.

Pihak pengurusan turut menyatakan Nurillo pada asalnya menerima beberapa tawaran dari pasukan lain sebelum memilih untuk kekal bersama Terengganu.

"Pemain tengah pasukan Terengganu FC, Nurillo Tukhtasinov pada hari ini (Selasa) telah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama kelab ini sehingga Disember 2025.

"Pemain kelahiran Uzbekistan ini mengakui sebelum ini menerima beberapa tawaran dari kelab lain namun beliau memutuskan untuk terus setia bersama kelab ini untuk baki musim ini dan musim berikutnya."

Untuk saingan musim ini sahaja menyaksikan bekas pemain kebangsaan Uzbekistan itu telah meledak empat gol daripada 20 penampilan termasuk di saingan Shopee Cup.

Sejak penyertaan Nurillo bersama Terengganu, beliau telah pun mencipta 42 penampilan bersama lima gol dan satu bantuan jaringan direkodkan pemain tersebut.

Beraksi di posisi tengah serangan, jelas Nurillo menjadi antara nadi utama pasukan untuk bergandingan bersama Manny Ott selaku perancang pasukan mencipta gerakan-gerakan berbahaya.

WhatsApp Image 2024-11-27 at 5.24.13 PM

BG Tampines Rovers tersenarai antara kelab baharu Nurillo pada tahun depan.

Namun begitu, meskipun sudah menyambung kontrak bersama Terengganu, menjadi persoalan profil di laman Wikipedia Nurillo apabila pemain itu dipercayai akan menyertai kelab Singapura pada 2025.

BG Tampines Rovers adalah kelab yang tersenarai sebagai destinasi baharu Nurillo seperti dinyatakan dalam profil wikipedia bekas pemain kebangsaan Uzbekistan itu.

Kini timbul pula persoalan dalam kalangan beberapa peminat Terengganu jika Nurillo bakal kekal sehingga kontrak tamat bersama Sang Penyu atau akhirnya berhijrah menyertai kelab baharu pada masa depan.

Untuk rekod, BG Tampines Rovers kini merupakan pendahulu Liga Singapura dibezakan tiga mata dengan pasukan di tempat kedua, Lion City Sailors. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram