PENGENDALI baharu kelab Indonesia, Persis Solo, Datuk Ong Kim Swee pastinya akan berdepan ujian besar dalam membantu pasukannya itu untuk keluar daripada kelompok penyingkiran Liga 1 Indonesia musim ini.
Persis Solo ketika ini menghuni tangga ketiga tercorot dalam carta liga dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi 11 perlawanan.
Ini kerana pasukan itu hanya mengutip dua kemenangan, satu keputusan seri dan lapan kekalahan untuk musim 2024-2025.
BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan TMJ 'loan' 3 import tepat, prestasi semasa jadi ukuran 'booking' slot di JDT
Dalam 11 perlawanan, Persis Solo juga hanya mampu menjaringkan sembilan gol dan bolos sebanyak 19 jaringan.
Ia sekali gus memerlukan Kim Swee untuk merombak semula struktur serangan Persis Solo bagi terus membantu pasukan menjaringkan gol lebih banyak.
Majoriti senaraikan tiga bekas pemain import Sabah FC yang mampu membantu Kim Swee di Persis Solo:
1. Ramon Machado
Bekas pemain import Sabah, Ramon Machado pastinya calon sesuai untuk membantu Persis Solo keluar dari zon penyingkiran kerana kemampuannya dalam menjaringkan gol.
Awal musim ini, Machado terpaksa meninggalkan Sabah selepas isu tunggakan gaji yang membelenggu Sang Badak meskipun beraksi dengan penuh cemerlang.
Bersama Sabah, Machado menjaringkan 18 gol dan empat bantuan jaringan sepanjang 27 penampilannya di bawah kendalian Kim Swee.
Kini pemain berusia 33 tahun itu sedang beraksi dalam Liga Azerbaijan bersama Araz-Nakhchivan dan telah meledak dua jaringan serta empat 'assist' dalam 13 penampilan terakhir.
2. Jailton Paraiba
Antara pemain sayap berbisa dimiliki oleh Sabah pada musim 2023 sebelum kehadiran Saadil Ramdani di kem Sang Badak, Jailton Paraiba pasti mampu memberikan tambahan baik buat Persis Solo.
Beraksi di posisi sayap kanan, Paraiba mempunyai pengalaman luas di Asia apabila mewakili beberapa kelab di China dan Jepun.
Bersama Sabah, gerakan lincah Paraiba sebelum ini telah menghasilkan enam 'assist' dalam 16 penampilannya di bawah kendalian Kim Swee.
Kini peluang terbaik untuk Persis Solo mendapatkan khidmat Paraiba kerana pemain berusia 34 tahun itu masih bergelar ejen bebas selepas meninggalkan Sabah tahun lalu.
3. Taiki Kagayama
Tahukah anda terdapat seorang bekas bintang tercicir skuad Piala Asia Jepun pernah berkelana ke Liga Malaysia (Liga M) dengan menjadi sebahagian tenaga import Sabah pada musim 2022.
Pemain yang dimaksudkan ialah perancang Jepun, Taiki Kagayama yang menjadikan Sabah sebagai pasukan Asia pertamanya selepas meninggalkan kelab Finland, Inter Turku kira-kira dua tahun lalu.
Kagayama yang tiba di tanah air ketika berusia 25 tahun itu berkongsi sebab penghijrahannya ke kelab Borneo berkenaan adalah untuk mencari persekitaran baharu, selain berminat untuk menimba ilmu di bawah Kim Swee.
Bersama Sabah, Kagayama tampil dalam 30 penampilan dengan menjaringkan lima gol serta dua 'assist' dan pernah meledak ketika bertemu jaguh Liga Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Kini pemain yang sudah pun berusia 28 tahun itu aktif beraksi di Liga Sweden bersama GIF Sundsvall. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram