Pernah wakili kelab Jepun, Chan Vathanaka antara 3 import Asean 'underrated' di Liga Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 23 Nov 2024

Vathanaka pernah beraksi bersama Sri Pahang pada musim 2018.

SELEPAS diperkenalkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 2018, kuota import Asia Tenggara (Asean) telah menarik minat lebih 50 pemain dari benua Asean untuk memeriahkan suasana Liga Malaysia.

Kemasukan lebih 50 pemain Asean itu tidak termasuk pendaftaran sebelum pengenalan kuota tersebut yang mencecah ratusan bintang sekitar Asia Tenggara beraksi di Malaysia.

Namun begitu, tidak semua pemain import Asia Tenggara mampu menyerlah dalam Liga Malaysia apabila melihat kualiti mereka yang setaraf dengan bintang tempatan.

BACA LAGI: Cemerlang bersama Harimau Malaya, fans mahu KDN FC 'jago molek' Ghaddar Kelate

BACA LAGI: [VIDEO] Presiden PSSI beri bayangan rekrut bekas 'keeper' Inter Milan perkuat Sang Garuda

Rata-rata yang mampu beraksi baik dalam Liga Malaysia ialah pemain-pemain 'regular' dalam skuad kebangsaan negara masing-masing seperti Safuwan Baharudin, Harris Harun (Singapura), Andik Vermansyah (Indonesia), Manuel Ott (Filipina) dan beberapa bintang ternama rantau ini.

Namun begitu, ada juga pemain Asean yang dilabel 'underrated' apabila sering menjadi perhatian penyokong kelab masing-masing.

Majoriti senaraikan tiga pemain import Asean 'underrated' yang pernah berkelana di dalam Liga Malaysia:

1. Chan Vathanaka

Pernah diberi jolokan 'Neymar Kemboja', Chan Vathanaka pastinya dikenali dalam kalangan penyokong Pahang FA (kini dikenali Sri Pahang) dan PKNS FC selepasa dua kelab itu pernah mendapatkan khidmatnya.

Walaupun tidak merekodkan jaringan yang tinggi bersama kedua-dua kelab itu, namun gerakan lincah Vathanaka amat diperlukan untuk melancarkan serangan ke kubu lawan.

Pemain berusia 30 tahun ini juga antara bintang Kemboja paling berjaya apabila pernah beraksi di Liga Jepun bersama Fujieda MYFC sebelum menyertai Liga Malaysia.

2. Thierry Chanthacheary Bin

Tidak perlu diperkenalkan lagi, Thierry Chanthacheary Bin antara pemain kesukaan penyokong Terengganu FC ketika dia mewakili kelab Pantai Timur itu.

Thierry yang pernah beraksi bersama beberapa kelab Liga Perancis menunjukkan kualitinya dalam mengawal bahagian tengah Sang Penyu.

Selain Terengganu, Perak FC juga pernah mendapatkan khidmatnya selepas setahun beraksi di Liga Thailand pada 2020.

Rekod 35 penampilan bersama Terengganu membuktikan bekas pemain Kemboja ini mempunyai kualiti tersendiri apabila kekal bersama Sang Penyu sehingga tamat musim 2019.

Kini pemain berusia 33 tahun itu kembali ke Kemboja untuk menyarung jersi Svay Rieng untuk saingan liga tempatan.

3. Ryuji Utomo Prabowo

Bekas pemain Penang FC, Ryuji Utomo Prabowo antara pertahanan 'kereta kebal' skuad Harimau Kumbang sebelum kedatangan Rafael Vitor.

Walaupun masanya bersama Penang hanya bertahan semusim, namun ketangkasan Ryuji di barisan pertahan sangat diingati oleh penyokong Harimau Kumbang.

Ryuji juga mempunyai pengalaman beraksi di Liga Uruguay, Liga Bahrain dan Liga Thailand sebelum kedatangannya ke Malaysia.

Kini pemain berusia 29 tahun itu beraksi bersama kelab Indonesia, Persita Tangerang di Liga 1 Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram