
LEGENDA Manchester United, Roy Keane dilapor terlibat dalam pertikaman lidah dengan seorang penyokong lawan selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan Manchester United sekadar seri 1-1 menentang Ipswich di Portman Road pada awal pagi Isnin.
Detik-detik panas itu sempat dirakamnya apabila Roy Keane dengan lantang membalas provokasi seorang peminat yang menghinanya dan mencabar lelaki terebut untuk meneruskan pertengkaran di parkir kereta.
Keane, bersama rakan pengulas Sky Sports, Jamie Redknapp dan Izzy Christiansen, ketika itu sedang menerima arahan terakhir daripada penerbit untuk kembali dari iklan sebelum legenda Manchester United itu berdepan dengan seorang peminat yang sengaja menunggu untuk membuat provokasi.
Kemudian, bekas kapten Manchester United yang pernah menjadi pengurus Ipswich antara 2009 dan 2011 itu dilihat meletakkan mikrofon, memasukkan tangan ke dalam poket, dan berjalan menuju ke arah peminat tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid bangga pasukan beri 100 peratus, Melaka FC yakin masih mampu cipta kejutan
Perbincangan hangat pun berlaku antara mereka.
Sebuah video lain yang dikongsi di media sosial selepas perlawanan menunjukkan Keane berkali-kali memberitahu peminat itu untuk "tunggu dan bincang di tempat letak kereta" sementara cacian dilemparkan ke arahnya.
Semasa pertengkaran berlaku, peminat lain dari bahagian penyokong Ipswich turut melontarkan penghinaan, dengan seorang lelaki dari tingkat atas tergesa-gesa berlari sambil menjerit.
Keane kemudiannya kembali ke lokasi penyiaran, manakala peminat tersebut kelihatan gembira kerana berjaya menaikkan kemarahan pengulas Sky Sports itu.
Ketika Keane berjalan kembali untuk menyertai panel Sky Sports, seorang pengawal keselamatan yang berada berhampiran menasihati peminat itu untuk bertenang.
Tidak lama kemudian, Redknapp turut masuk campur dengan berkata sesuatu.
Hubungan Keane dengan sebahagian peminat Ipswich memang tegang sejak zaman dia menguruskan kelab itu.
Malah, dia pernah mengakui bahawa pertelingkahan dengan peminat menjadi dorongan buatnya untuk terus berusaha.
Roy Keane wanted it in the car park #ipswich #ManU #IPSMU #SuperSunday pic.twitter.com/F3Ua5uX9Bw
— Aden Clarke (@adenLFC4life) November 24, 2024
Sebelum menjadi salah seorang pengulas Sky Sports yang dikenali, Keane memulakan kerjayanya sebagai pengurus pada tahun 2000-an dan awal 2010-an.
Dia mula melatih Sunderland selama dua tahun sebelum berpindah ke Portman Road pada 2009.
Ketika di Ipswich, Keane hanya memenangi 28 daripada 81 perlawanan, kalah dalam jumlah yang sama dan seri sebanyak 25 kali.
Kedudukan kelab itu jatuh sehingga ke tangga ke-21 dalam Liga Kejuaraan sebelum dipecat pada Januari 2011. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram