LELAKI warga Myanmar yang didakwa mengorek keluar bebola mata lelaki warganegara sehingga mengakibatkan kecacatan kekal dalam insiden di Tasek Gelugor, Seberang Perai, Pulau Pinang pada Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang pada Jumaat.
Tertuduh, Murtabis yang berusia 28 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Penolong Pendaftar, Mohamad Azrul Mohd Sobri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 52 tahun di tepi jalan Flat Rethina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang pada Sabtu lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Bebola mata kiri dikorek warga asing, mangsa kini buta seumur hidup
BACA LAGI: Diganggu mangsa punca warga asing korek mata lelaki ketika bergaduh — Polis
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki apa-apa pas yang sah mengikut undang-undang memasuki negara ini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Simpang Tiga, Tasek Gelugor, kira-kira pukul 3 petang pada Jumaat.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.
Pada kedua-dua prosiding itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin berikutan tertuduh bukan warganegara.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 13 Disember depan dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki parah selepas bebola mata kirinya dikorek keluar oleh seorang lelaki warga asing dalam insiden pergaduhan di tepi jalan berdekatan sebuah flat di Jalan Ara Kuda pada Sabtu lalu.
Insiden dipercayai berlaku berikutan suspek berang dengan tindakan mangsa yang didakwa sering mengganggunya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dilaporkan berkata, kejadian terbabit menyebabkan mata mangsa tidak dapat diselamatkan dan dipercayai akan mengalami kecacatan kekal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram