BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menampilkan kebangkitan bergaya untuk menempah slot ke separuh akhir China Masters selepas menundukkan pasangan tuan rumah, Guo Xinwa-Chen Fanghui.
Mereka yang tewas pada set pertama 14-21 pasti hampir patah semangat apabila ketinggalan jauh pada set kedua dengan kedudukan 11-20 yang pasti memadam peluang ke pusingan seterusnya.
Bagaimanapun, pasangan di kedudukan ke-10 dunia itu berjaya bangkit dengan bergaya sehingga mengikat kedudukan 20-20 sebelum meraih kemenangan 23-21 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
BACA LAGI: Tewas awal di Kumamoto Masters, Rexy ingatkan jangan perkecil kualiti Aaron-Wooi Yik
Pang Ron-Su Yin turut melangkah ke peringkat separuh akhir China Masters.
Kemenangan penuh dramatik berkenaan menyuntik semangat Tang Jie-Ee Wei untuk tampil penuh bertenaga sehingga membolehkan mereka menang 21-16, seterusnya mengesah tempat ke separuh akhir.
Namun, kepuasan itu masih belum cukup kerana selepas ini, mereka akan berdepan pasangan di kedudukan kedua dunia yang juga merupakan pilihan dalam pertandingan ini, Feng Yanzhe-Huang Dongping.
Satu lagi beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin juga meraikan kejayaan apabila melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan pasangan Taiwan, Chen Cheng-kuan-Hsu Yin-hui.
Keputusan 21-10, 21-16 sudah cukup bagi sebuah wakil negara itu untuk mara ke pentas separuh akhir dalam kejohanan Super 750 buat pertama kali dengan mereka akan berdepan pasangan nombor tujuh dunia, Chun Man-Tse Ying Suet pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram