Selangor sedia hadapi musim kemarau, bekalan air mencukupi — Izham Hashim


  • Primer
  • Khamis, 21 Nov 2024

Tujuh empangan di Selangor mempunyai bekalan air bersih mencukupi sekiranya kemarau berlaku.

KERAJAAN negeri Selangor menegaskan mereka bersiap sedia untuk berdepan bencana kemarau tahun depan atau pada 2026 dengan sumber air bersih mencukupi dan sedia diedarkan jika perlu.

Pengerusi jawatankuasa infrastruktur dan pertanian negeri, Izham Hashim berkata, jumlah kapasiti air di tujuh empangan utama negeri dan 100 kolam dikenal pasti sebagai sumber alternatif yang boleh bertahan antara lapan ke sembilan bulan.

"Pengurusan air Selangor menerusi Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bukan sahaja untuk kegunaan harian atau pengurusan pencemaran, tetapi juga bersedia sekiranya berlaku penurunan hujan terhad untuk tempoh panjang.

BACA LAGI: Penduduk luah rasa lega, tiada insiden buruk berlaku ketika air pasang besar di Pelabuhan Klang

BACA LAGI: Air Selangor taja 240 pelajar B40 akses pendidikan digital hadapi SPM

Tasik Subang dam is located in Kapar, Selangor.

Jumlah air di kesemua tujuh empangan negeri di tahap mencukupi.

"Kesemua empangan di negeri ini mempunyai air mencukupi untuk kegunaan empat ke lima bulan dan ada juga tersedia di kolam yang boleh bertahan sehingga tiga bulan," katanya semasa persidangan Dewang Undangan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri, Shah Alam, Selangor.

Izham berkata demikian sebagai jawapan kepada pertanyaan Nushi Mahfodz (PN-Semenyih) berhubung persiapaan negeri untuk berdepan bencana kemarau tahun depan atau pada 2026 akibat fenomena El Nino.

Jelasnya, kolam yang menyimpan air bersambung dengan sungai seluruh negeri menerusi sistem pengepaman dua fungsi dengan ia digunakan sebagai penyimpanan air dan pengurusan banjir.

"Kita juga akan menyemak semula sistem pengedaran air sekiranya terdapat kemarau," katanya.

Tambahnya lagi, setakat 4 November lalu, kapasiti air di kesemua tujuh empangan sekitar Selangor melebihi 90 peratus.

Selangor State EXCO Ir. Izham Hashim.— KK SHAM/The Star

Izham menjelaskan pihaknya juga sudah menyiapkan pelan pengedaran air bersih.

Izham turut berkata, pihak kerajaan negeri juga akan menerapkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) untuk mengawasi tahap dan kualiti air.

"Kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor sudah mengguna pakai teknologi terkini bagi mengesan pencemaran air bersih menerusi Stesen Pemantauan Sungai (RMS).

"Sistem pemanatuan ini akan dipasang di beberapa lokasi sepanjang sungai utama bagi mengumpul data menggunakan pengesan. Pengesan itu boleh mengetahui kualiti air sungai dan data dikumpul boleh diakses LUAS," katanya lagi.

Menurutnya lagi, LUAS sudah menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi Agensi Angkasa Malaysia (MySA).

MySA membangunkan Sistem Pemantauan Aktiviti Permukaan Bumi Selangor (Sesams) untuk agensi itu memantau aktiviti guna tanah, khususnya yang berkaitan dengan badan air dan kawasan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram