'Final Piala AFF perlu jadi sasaran utama', Irfan Bakti persoal mana striker tulen Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 19 Nov 2024

Pemain-pemain Malaysia meraikan jaringan Paulo Josue ketika menentang India pada Isnin.

HARIMAU Malaya mengikat pasukan di ranking ke-125 dunia, India 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India pada Isnin (18 November).

Keputusan itu menyaksikan Malaysia yang menghuni ranking ke-133 dunia menyekat hasrat India untuk menamatkan kemarau kemenangan selama setahun selepas kali terakhir skuad The Blue Tigers meraih kemenangan ketika menewaskan Kuwait 1-0 pada 16 November tahun lalu.

Pada aksi itu, pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente melakukan tujuh perubahan dalam kesebelasan utama berbanding ketika menentang Laos di Bangkok, Khamis lalu.

BACA LAGI: Berhabis RM3.4 bilion buat Erik ten Hag, Ruben Amorim sebaliknya dapat bajet lebih 'ciput' oleh Man United

BACA LAGI: 'Gaji tak ada, lencana pun hilang', fans sambut baik cadangan ex Penang FC tinggalkan karier bola sepak

Ketiadaan bintang muda sensasi Arif Aiman Hanapi menyaksikan Haqimi Azim Rosli menggalas tugas di bahagian sayap kanan manakala Azam Azmi Murad menggantikan tempat Matthew Davies di posisi pertahanan kanan.

Ia keputusan seri pertama yang diraih Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa di bawah kendalian Vicente selepas sebelum ini merekodkan tiga kemenangan dan tewas sekali.

Jaringan Harimau Malaya disumbangkan oleh Paulo Josue selepas kesilapan penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu pada minit ke-19 perlawanan.

India kembali bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-39 selepas Rahul Bheke menanduk masuk bola hasil sepakan sudut oleh Brandon Fernandes.

Melihat kepada keputusan itu, bekas jurulatih Selangor FC, Irfan Bakti Abu Salim ia sesuatu yang baik buat Harimau Malaya namun mendedahkan masih terdapat kelemahan di bahagian serangan pasukan.

"Ranking India lebih baik daripada kita (skuad kebangsaan), jadi ia memang sesuatu yang sangat baik untuk kita melihat pasukan mengikat India di tempat lawan.

"Namun begitu kita masih mengharapkan Paulo Josue untuk menjaringkan gol. Di manakah striker tulen kita? Itu yang penting sekarang ini.

"Sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol, tapi kita masih memerlukan striker tulen nombor sembilan kita tak ada," katanya kepada Majoriti.

Irfan juga mengharapkan Harimau Malaya mampu pergi lebih jauh di pentas Piala AFF bulan depan dengan final menjadi sasaran utama pasukan.

"Piala AFF ini tak sebesar Piala Asia, jadi saya rasa kita perlu unggul dalam kejohanan ini. Kita perlu melangkah ke pentas final walaupun tanpa beberapa tonggak utama.

"Tahap AFF itu boleh tahan, tapi sekarang kita dah mula lawan pasukan-pasukan besar. Jadi lawan dengan pasukan sekitar Asia Tenggara maknanya kalau masuk final tahap kita lebih tinggi.

"Harap Pau Marti dapat memanggil pemain-pemain muda yang berkualiti juga sebagai pendedahan untuk pasukan kebangsaan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram