Menang lawan Laos ketika masih ada 3 bintang JDT, Malaysia pintas Indonesia dalam ranking FIFA


  • Podium
  • Ahad, 17 Nov 2024

Malaysia memintas Indonesia buat sementara waktu dalam ranking FIFA.

MALAYSIA untuk buat masa ini berjaya memintas Indonesia dalam ranking FIFA selepas menghasilkan kemenangan ke atas Laos dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Harimau Malaya yang dikuatkan dengan tiga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Matthew Davies, Arif Aiman dan Feroz Baharudin pada perlawanan tersebut berjaya merakamkan kemenangan 3-1 pada aksi yang diadakan di Thailand.

Kemenangan tersebut membolehkan Malaysia memintas Indonesia untuk menduduki tangga ke-128 dunia. Sebagai rekod, Indonesia tumpas 0-4 kepada Jepun dalam kelayakan Piala Dunia 2026.

BACA LAGI: 'Udara OK ke?' India teruk dilanda jerebu beracun, ekor HM risau keselamatan pemain

BACA LAGI: Berlatih di Man United, Pogba mungkin kembali sarung jersi The Red Devils buat kali ke-3

466737180_1269017257504841_3184186602069004031_n

Arif Aiman (kiri) membantu Malaysia mengalahkan Laos.

Ranking skuad Harimau Malaya itu dijangka berubah selepas pertemuan berdepan India dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa pada Isnin (pukul 10 malam waktu Malaysia).

Jika kemenangan berjaya diraih menentang negara Asia Selatan itu, Malaysia berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 130 terbaik dunia.

Kedudukan itu boleh dicapai dengan lebih mudah seandainya Indonesia tewas berdepan Arab Saudi pada aksi kelayakan Selasa ini. Ia akan menjadi lebih manis sekiranya Sang Garuda tewas besar kepada gergasi Asia tersebut.

Kenaikan ranking amat penting buat Harimau Malaya dalam misi cuba mendapatkan kedudukan setinggi mungkin supaya Malaysia berada dalam Balang 1 bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.

Berada dalam Balang 1 amat penting buat Malaysia kerana ia dapat membantu Harimau Malaya mengelak daripada berdepan lawan lebih sukar dalam misi ke Arab Saudi pada 2027.

Hal ini kerana dalam pusingan ketiga itu, hanya juara kumpulan akan mengesahkan tempat ke kejohanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram