KEKALAHAN Kedah Darul Aman FC kepada Selangor FC pada aksi Liga Super Sabtu lalu menyukarkan lagi musim mereka yang sudah sedia mencabar.
Tewas di laman sendiri 0-1 membuatkan Kedah terus berada di zon bawahan liga dengan menduduki tangga ke-10.
Bagi pengendali Kedah, Nafuzi Zain, kekalahan itu berpunca daripada kelemahan tahap kecergasan dalam kalangan pemain untuk memberi saingan kepada Selangor.
BACA LAGI: Ambil alih 100 peratus, Kedah ada masa 7 hari terima tawaran anak syarikat DSAT
Kedah tumbang 0-1 kepada Selangor dalam aksi Liga Super.
Kata Nafuzi, Kedah berdepan dengan cabaran getir di dalam dan luar padang. Disebabkan itu, fokus mereka terganggu walaupun sedaya upaya memberikan yang terbaik.
"Dalam situasi begini, para pemain dan staf hanya mampu bertahan kerana kami tidak tahu bila isu (tunggakan gaji) akan selesai.
"Sebagai jurulatih, ia adalah mencabar dan saya menghargai pemain yang setia kepada pasukan.
"Kami mengalami kekurangan dari segi persiapan, terutamanya dari sudut kecergasan dan pihak lawan mempunyai kelebihan walaupun kami cuba berikan yang terbaik," ujar Nafuzi.
Selain Nafuzi, pengendali sementara Selangor, Abdi Hassan turut menyedari ketempangan Kedah dari sudut kecergasan dan dia mengambil kesempatan atas perkara itu untuk meraih kemenangan.
Hassan menggunakan situasi tersebut untuk akhirnya memecahkan pintu gol Kedah pada awal separuh masa kedua menerusi Izwan Yuslan.
"Ia adalah satu perlawanan yang bagus dan kami berjaya meraih kemenangan. Kami menyerang daripada awal dan mengawal permainan tetapi tidak berjaya menggandakan jaringan walaupun ada banyak peluang.
"Kami bermain dalam pergerakan lebih pantas di separuh masa kedua kerana pihak lawan sudah menunjukkan tanda-tanda keletihan. Saya gembira dan pemain berhak untuk mendapatkan tiga mata," ujarnya. — The Star/S. SAKTESH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram