[VIDEO] Hanya 20 saat, sidang media Denmark tak ubah seperti JDT sebelum final Piala FA


  • Podium
  • Rabu, 20 Nov 2024

Tangkap layar menunjukkan pengendali Denmark, Brian Riemer tersenyum sebelum meninggalkan bilik sidang media tanpa mengucapkan sepatah kata pun. — Agensi

DENMARK mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara Uefa selepas seri 0-0 bertemu Serbia yang menyaksikan tuan rumah gagal ke pusingan kalah mati.

Keputusan itu membolehkan Denmark yang mengumpul lapan mata menduduki tangga kedua Kumpulan A4, ketinggalan lapan mata di belakang Sepanyol.

Bagaimanapun, sidang media selepas perlawanan yang membabitkan Ketua Jurulatih Denmark, Brian Riemer sempat mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air mahupun luar negara.

BACA LAGI: Semangat lawan pudar sebelum sepak mula, fans JDT ramal ada pesta gol di SSI

BACA LAGI: Sudah bertahun-tahun beraksi di Liga M, 3 import termasuk tonggak Sang Kenari masih ketandusan trofi

Sidang media itu berlangsung hanya selama 20 saat kerana difahamkan tiada soalan yang diajukan oleh wartawan kepada pengendali tersebut.

Riemer yang tersenyum melihat suasana sunyi yang janggal, bangun dari kerusinya dan meninggalkan bilik sidang media tanpa mengucapkan sepatah kata pun.

Susulan itu, ramai penyokong tanah air menyifatkan kejadian itu seperti sidang media antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 Ogos lalu.

Begitu pun, apa yang membezakannya adalah skuad Harimau Selatan mengambil pendekatan pelik apabila pengendalinya, Hector Bidoglio dan kapten, Jordi Amat tidak menghadiri sesi sidang media tersebut.

Malah, mereka yang diwakili pemain pertahanan, Junior Estdal dan pembantu jurulatih, Richetti Pablo Javier masing-masing enggan memberi sebarang kenyataan mengenai aksi tersebut.

Ketika ditanya para wartawan dalam sesi kira-kira lima minit itu, masing-masing hanya mengatakan mereka 'tiada komen' terhadap persiapan pasukan.

Meskipun demikian, Harimau Selatan muncul juara Piala FA selepas menundukkan Selangor FC 6-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram