Kempen cemerlang Kumamoto Masters berakhir, Jun Hao kalah di final kepada bintang China


  • Podium
  • Ahad, 17 Nov 2024

Jun Hao muncul naib juara Kumamoto Masters 2024.

NASIB tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk memenangi gelaran Kumamoto Masters apabila tewas di perlawanan akhir.

Berdepan pemain dari China iaitu Li Shi Feng, Jun Hao bagaimana pun tidak mampu memberikan tentangan sengit apabila tumpas straight set 10-21, 13-21.

Kekalahan tersebut menjadi ia anti-klimaks kepada kempen cemerlang Jun Hao di kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Leong Jun Hao terus bergaya, mara ke separuh akhir Kumamoto Masters tumbangkan wakil tuan rumah

BACA LAGI: Tewas awal di Kumamoto Masters, Rexy ingatkan jangan perkecil kualiti Aaron-Wooi Yik

Jun Hao hampir untuk menarik diri daripada perlawanan akhir kerana di awal set pertama, dia dilihat mengalami kecederaan dan memerlukan bantuan.

Namun begitu, selepas pemeriksaan dilakukan, Jun Hao boleh terus bermain namun persembahannya tidak cukup untuk menewaskan perseorangan nombor satu China itu.

Jun Hao tewas dalam pertarungan selama 44 minit dalam perlawanan akhir Jelajah Dunia BWF Super 500 pertama dalam kariernya.

Walaupun tewas, tetapi Jun Hao boleh berbangga dengan persembahan baiknya di kejohanan tersebut apabila berjaya menewaskan beberapa pemain utama dunia dalam laluan ke final.

Jun Hao menewaskan pemain India, Lakshya Sen, bintang tuan rumah iaitu Kodai Naraoka dan Jonatan Christie dari Indonesia untuk mara ke perlawanan akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram