Sistem Liga M, Sony Norde, tiket mahal alasan fans KDA FC tolak penuhi Stadium Darul Aman?


  • Podium
  • Ahad, 17 Nov 2024

Penyokong Kedah berpendapat harga tiket terlalu mahal bagi perlawanan menentang KL City di Stadium Darul Aman pada 22 November nanti.

PENYOKONG-PENYOKONG Kedah Darul Aman FC (KDA FC) seolah memberi bayangan awal akan memboikot perlawanan pusingan ke-16 Piala Malaysia 2024 menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) pada 22 November susulan harga tiket yang diumumkan pihak pengurusan Hijau Kuning.

Rata-ratanya penyokong Kedah berpendapat harga RM23.69 sangat mahal dengan situasi semasa yang sedang dihadapi pasukan itu.

Luahan penyokong Sang Kenari itu ditinggalkan dalam ruangan komen media sosial Kedah Darul Aman FC yang memaparkan posting harga jualan tiket bagi setiap 'section' yang tersedia di Stadium Darul Aman, Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi kasari lawan, Arif Aiman bakal senasib Baddrol Bakhtiar?

BACA LAGI: [VIDEO] 'Format dah tak menarik', belum mula tapi fans umum JDT juara Piala Malaysia 2024

"Tiket mahal salah satu punca penyokong tak hadir. Pendapat saya, biar murah tapi ramai yang hadir itu lagi berbaloi. Boleh bawa keluarga sekali, ini nak bawa pun fikir 50 kali," kata Lanz Kedah.

"Ramai tak pergi punya sebab tiket mahal, kalau tiket RM5 mesti penuh stadium," ujar Syahmi Senawi.

"Bila nak selesai masalah dalaman? Takkan bergantung kepada tiket sahaja? Tiket pun sekejap naik sekejap turun," jelas Putera Kedah.

Selain itu, penyokong-penyokong Kedah turut tidak berpuas hati dengan undian Piala Malaysia 2024 selepas menyaksikan skuad gergasi utara tanah air itu sekali lagi diundi sebaris juara tahun lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Maaf kami bukan tak sayang pasukan, kami tak suka sistem liga. Kalau dah tahu semua kejohanan nak dapat dekat dia, kita berhabis buat apa lagi?" soal Papadeeb Kerpanino.

"Dah tak pergi, tengok dalam jadual. JDT dah atur awal lagi," dakwa Muhamad Ali.

"Susah kalau kena undi dengan JDT, setiap tahun duduk sekali," jelas Roshidee Zd.

Sebelum ini media melaporkan pemain import KDA FC, Sony Norde mungkin akan berkelana ke Indonesia selepas dikhabarkan mendapat tawaran daripada Malut United FC pada bulan depan.

Ini menambah alasan penyokong Kedah untuk tidak hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan menentang KL City selepas mereka telah kehilangan Habib Haroon semasa jendela perpindahan kedua pada Ogos lalu.

"Nak tahu juga, Sony Norde itu masih bersama pasukan lagi ke? Dengar berita dah pindah ke Liga Indonesia," kata Che Nan.

"Sony ada lagi ke?" soal Kapten Leo.

"Sony pun nak lari dah, tak larat nak makan lencana," ujar Amran Abu Bakar.

Kemelut pasukan Kedah terus menghantui penyokong-penyokong Hijau Kuning selepas isu tunggakan gaji pemain-pemain seakan-akan tidak selesai.

Tambah mengecewakan penyokong Sang Kenari apabila pihak pengurusan Kedah memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham kepada Mahsuri Medical Centre. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram