PEMAIN bola sepak profesional sering kali dianggap sebagai individu yang hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya di atas padang. Namun, terdapat sebilangan pemain bola sepak profesional yang membuktikan mereka mampu mengimbangi antara sukan dan pendidikan.
Golongan itu berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) sambil terus cemerlang dalam karier bola sepak.
Fenomena itu bukan sahaja membuktikan kemampuan mereka untuk mengurus masa dan tanggungjawab, tetapi juga menonjolkan pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan pemain bola sepak profesional, sama ada di dalam atau di luar arena sukan.
BACA LAGI : [VIDEO] Pernah hampir putus asa, keeper Pahang puas raih segulung ijazah
BACA LAGI : [VIDEO] Saya sendiri tak sangka dapat beraksi — Azfar Arif
Kesedaran itu turut diakui segelintir pemain Liga Super yang memilih untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading kerana ingin memastikan sumber pendapatan terjamin selepas menamatkan karier.
Baru-baru ini, seorang lagi bintang dalam arena bola sepak tanah air yang sanggup berkorban demi segulung ijazah meskipun terpaksa berdepan kesibukan di atas padang.
Cabaran demi cabaran tidak mematahkan semangat Azfar (kanan) untuk bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan.
Penjaga gol Sri Pahang FC, Azfar Arif berkongsi kegembiraan atas pencapaian peribadi itu selepas bergelar graduan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dia yang menceburi bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) bagaimanapun turut mengakui dirinya berdepan kesukaran untuk mengurus masa sebagai seorang pemain dan penuntut di IPT.
Namun, tahukah anda, selain Azfar Arif, terdapat tiga lagi pemain yang juga memiliki segulung ijazah dalam memastikan masa depan cerah selepas menamatkan karier dalam sukan tersebut.
1. Asnan Ahmad — Sri Pahang FC
Berusia 31 tahun, Cikgu Nan pernah berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Johor selama enam bulan pada 2020 dengan kerjayanya itu menjadi punca atas nama panggilannya itu. — SriPahangFC
Pemain tengah Sri Pahang FC, Asnan Ahmad, merupakan figura yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak Malaysia.
Dikenali dengan kelincahan dan kebijaksanaan taktikal di atas padang, Asnan yang lebih dikenali Cikgu Nan membina reputasi sebagai salah seorang pemain tengah berbakat yang disegani.
Namun, ramai yang tidak tahu, Cikgu Nan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sukan dan Rekreasi serta Ijazah Sarjana dalam Pendidikan Pengurusan Sukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berusia 31 tahun, Cikgu Nan pernah berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Johor selama enam bulan pada 2020 dengan kerjayanya itu menjadi punca atas nama panggilannya itu.
Cikgu Nan akhirnya meninggalkan bidang pendidikan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier sebagai pemain profesional setelah menerima tawaran bermain di Liga Super bersama pasukan Terengganu FC, sebelum akhirnya menyertai Sri Pahang FC.
Dengan pengalaman dan latar belakang pendidikan yang kukuh, Asnan bukan sekadar atlet profesional, tetapi juga inspirasi kepada generasi muda untuk mementingkan kecemerlangan akademik dan sukan secara serentak.
2. Mahali Jasuli — Kuala Lumpur City FC
Mahali Jasuli merupakan seorang lagi pemain bola sepak yang mementingkan pembelajaran meskipun sibuk dengan karier di atas padang.
Bekas pertahanan kental Malaysia, Mahali Jasuli merupakan seorang lagi pemain bola sepak yang mementingkan pelajaran meskipun sibuk dengan karier di atas padang.
Ini terbukti apabila dia menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) pada 2012 di Universiti Putra Malaysia sewaktu dia masih lagi bersama skuad Harimau Muda A.
Sebagai pemain yang memiliki pengalaman luas, Mahali memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan benteng pertahanan KL City FC.
Keseimbangan antara karier bola sepak dan akademik menjadikannya inspirasi kepada ramai, khususnya generasi muda yang ingin berjaya dalam sukan tanpa mengabaikan pendidikan. Mahali terus menjadi contoh teladan, membuktikan bahawa atlet profesional juga mampu mengejar impian akademik mereka.
3. Bryan See Tian Keat — PDRM FC
Perjuangan Bryan dalam pelajaran tidak terhenti walaupun sudah bergelar pemain profesional apabila dia kini menyambung pengajian jarak jauh dalam Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam di JHU. — PDRMFC
Penjaga gol berpengalaman PDRM FC, Bryan See Tian Keat antara tonggak The Cops pada awal musim ini.
Selain tangkas dalam menjaga gawang, pemain dari Subang Jaya, Selangor itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Johns Hopkins University (JHU), Amerika Syarikat.
Perjuangan Bryan See dalam pelajaran tidak terhenti di situ sahaja walaupun sudah bergelar pemain profesional apabila dia kini menyambung pengajian jarak jauh dalam Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam di JHU.
Keputusan untuk melanjutkan pelajaran itu tidak memberi kesan terhadap kariernya di atas padang apabila dia kini menjadi watak utama skuad Sang Saka Biru.
Namun, dengan ijazah sarjana dimiliki, ia sudah tentu membuka ruang bagi memastikan sumber pendapatannya tidak terkesan walaupun tidak lagi bergelar pemain bola sepak profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram