KESIBUKAN bukanlah penghalang buat mana-mana atlet untuk melanjutkan pelajaran demi meraih segulung ijazah kerana masing-masing tahu sijil berkenaan mampu menjamin masa depan lebih cerah.
Kesedaran itu turut diakui segelintir pemain Liga Super yang memilih untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading kerana ingin memastikan sumber pendapatan terjamin selepas menamatkan karier.
Baru-baru ini, seorang lagi bintang dalam arena bola sepak tanah air yang sanggup berkorban demi segulung ijazah meskipun terpaksa berdepan kesibukan di atas padang.
BACA LAGI: [VIDEO] Saya sendiri tak sangka dapat beraksi — Azfar Arif
BACA LAGI: Aksi debut Azfar bantu selamatkan Tok Gajah dibolosi Paulo Josue
Azfar menjadi salah seorang watak penting buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Penjaga gol Sri Pahang FC, Azfar Arif berkongsi kegembiraan atas pencapaian peribadi itu selepas bergelar graduan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Dia yang menceburi bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) bagaimanapun turut mengakui dirinya berdepan kesukaran untuk mengurus masa sebagai seorang pemain dan penuntut di Institut Pendidikan Tinggi (IPT).
"Saya pernah rasa mahu putus asa kerana ketika menghadiri kelas, rasa tidak mempelajari apa-apa. Alhamdulillah, ada kawan-kawan dan penyelia yang selalu bantu untuk mengejar kembali apa yang saya ketinggalan.
"Kalau ada perkara tidak difahami, pensyarah dan kawan-kawan sering bantu. Apa yang boleh saya kata adalah jangan mudah mengalah, kekuatan mental perlu ada dan mesti berdisiplin," katanya.
Menurutnya, kesukaran sedikit dialami ketika dia bergelar pemain skuad Harimau Kumbang kerana tidak dapat hadir ke kelas secara bersemuka akibat kekangan jarak dan masa.
Jadi, untuk mengikuti perkembangan kelas, penjaga gawang itu mengambil inisiatif menghadiri kelas secara dalam talian dengan ia membuktikan kesungguhan dalam kariernya.
Pemain berusia 25 tahun tersebut menyertai skuad Tok Gajah pada awal musim lalu dari Penang FC dengan dia sudah merekodkan empat penampilan Liga Super dengan satu 'clean sheet' direkodkan.
Peluangnya untuk beraksi secara kerap sedikit terhad memandangkan Azfar perlu bersaing dengan Zarif Irfan Hashimuddin bagi tempat dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, setiap kali diberi peluang, pemain kelahiran Terengganu tersebut akan memberi persembahan terbaik dalam memastikan gawangnya tidak dibolosi dengan mudah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram