TIGA kemenangan dan satu keputusan seri sepanjang bergelar pengurus sementara Manchester United menaikkan lagi reputasi Ruud van Nistelroory dalam bidang kejurulatihan.
Dia yang sebelum ini meraih pengalaman di negara kelahirannya, Belanda selama kira-kira semusim bersama PSV Eindhoven kelihatan tidak mengalami sebarang masalah dalam arena bola sepak England.
Jadi, dengan khidmatnya tidak diperlukan Manchester United berikutan kehadiran Ruben Amorim, bekas penyerang The Red Devils itu pasti mahu kembali bergelar pengurus segera.
BACA LAGI: Tugas 'interim' selesai, Van Nistelrooy tinggalkan Man United
BACA LAGI: Sekalipun dah ada pengganti ten Hag, van Nistelrooy berkeras mahu kekal bersama Man United
Burnley dalam usaha kembali ke EPL selepas tersingkir musim lalu. — Agensi
Pencarian itu bagaimanapun tidak memakan masa apabila baru-baru ini, beberapa kelab dilaporkan sudah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat van Nistelrooy.
Antaranya ialah pasukan di divisyen bawahan England, Burnley FC yang mula mendambakan sentuhan pengurus berusia 48 tahun itu meskipun mereka kini berada dalam landasan tepat untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Skuad The Clarets yang kini di bawah kendalian seorang lagi bekas pemain EPL, Scott Parker itu berada di tangga keempat Liga Kejohanan setakat 15 perlawanan.
Namun, hasil daripada sentuhan van Nistelrooy buat Manchester United pasti didambakan mana-mana kelab, termasuk dalam divisyen berkenaan yang mahu merekodkan prestasi cemerlang.
Leicester City bergelut dalam musim kepulangan mereka ke EPL. — Agensi
Selain itu, beberapa laporan mengatakan Leicester City mahu membawanya masuk selepas kurang berpuas hati dengan sentuhan Steve Cooper setakat 11 aksi EPL.
Mereka yang kini menduduki tangga ke-15 hanya mengumpul 10 mata dengan lima kekalahan sudah dialami dalam musim kepulangan mereka ke divisyen teratas itu.
Jadi, dengan van Nistelrooy tidak terikat dengan mana-mana pasukan ketika ini, juara EPL musim 2015/16 itu pasti tidak akan teragak-agak untuk menyambarnya dalam masa terdekat.
Pilihan kini berada di tangan van Nistelrooy yang tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan meskipun tahu beberapa kelab bersedia membuat tawaran kepadanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram