Desak Ratcliffe segera keluarkan wang bidaan, Amorim ‘order’ pemain muda Barcelona sebagai ‘signing’ pertama bersama Man United


  • Podium
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Impian Amorim (gambar) mahu mendapatkan Lopez agak sukar selepas pemain itu menandatangani pelanjutan kontrak jangka panjang dengan Barcelona sehingga 2029. — Instagram/Lopez

PENGENDALI baharu Manchester United, Ruben Amorim sedia mahu memberikan era baharu buat kelab berkenaan selepas dia dilantik sebagai ketua jurulatih menggantikan posisi Eric ten Hag sebelum ini.

Bekas pengendali Sporting Club itu diduga akan melakukan beberapa perubahan dalam kem United dan antaranya ialah membawa wajah baharu bagi memperkuatkan lagi skuad depth kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Antara nama berada dalam sasaran pengurus kelahiran Portugal itu ialah Fermin Lopez iaitu prospek Barcelona, yang bergelut untuk menembusi skuad utama dalam saingan La Liga musim ini.

BACA LAGI: Kepulangan bek kiri sempurnakan minggu cemerlang fans Man United

BACA LAGI: Amorim diberi kata dua Man United sebelum tinggalkan Portugal

Memetik laporan media luar negara, Amorim didakwa menggesa Sir Jim Ratcliffe selaku pemilik Manchester United untuk mengemukakan tawaran €50 juta (RM224 juta) untuk pemain tengah menyerang Barcelona itu.

Pemain berusia 21 tahun berkenaan beroperasi terutamanya sebagai pemain tengah yang menyerang namun pemain antarabangsa Sepanyol itu masih boleh bermain di bahagian sayap jika diperlukan.

Walaupun menjaringkan satu gol dan memberikan dua bantuan dalam hanya 93 minit aksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim ini, Lopez bergelut untuk mendapatkan tempat permulaan dalam La Liga.

Kebarangkalian untuk mendapatkan Lopez boleh berlaku apabila laporan Sepanyol menyebut pemain itu boleh memilih untuk meninggalkan Barca jika dia tidak mendapat minit permainan yang banyak dalam tempoh tujuh minggu akan datang.

Walaupun laporan itu memberi gambaran positif tentang peluang Man United untuk menandatangani Lopez namun baru-baru ini, pemain itu menandatangani pelanjutan kontrak jangka panjang dengan Barcelona sehingga 2029.

Lebih-lebih lagi, pemain yang menyertai Barcelona pada 2016 itu menyatakan hasratnya untuk kekal di Barcelona melebihi tempoh kontrak semasanya setelah menandatangani terma baharu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram