Pelajar lelaki maut, 4 cedera lepas umpan pancing tiruan tersangkut kabel elektrik di Padang Terap


  • 112
  • Khamis, 31 Okt 2024

Kejadian renjatan elektrik berlaku ketika kumpulan remaja itu cuba mengait umpan yang tersangkut pada kabel elektrik. — PDRM

KESERONOKAN lima sekawan yang ingin mengambil umpan pancing tiruan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut manakala empat yang lain cedera selepas terkena renjatan elektrik di kawasan sawah, di Kampung Tanjung Putu dekat Padang Terap, Kedah pada Rabu.

Dalam kejadian itu, Muhammad Hariyz Akief Noraimi yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap mengesahkan kejadian dipercayai berlaku pada pukul 6.30 petang ketika remaja berusia 14 tahun itu bersama empat rakannya pergi ke kawasan tersebut untuk mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut pada kabel elektrik.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada permit punca polis serbu konsert 'galau' di Kemaman

BACA LAGI: Dakwaan rakyat Malaysia jadi tentera upahan Ukraine, polis tunggu butiran terperinci Kedutaan Rusia

Ketua Bahagian Pengurusan IPD Padang Terap, Asisten Superintendan (ASP) Yukhrul Mohd Yusof berkata, seorang daripada rakan mangsa naik ke atas tempat duduk motosikal dan cuba mengait umpan tiruan itu menggunakan sebatang galah aluminium.

"Ketika itu, mangsa (Muhammad Hariyz) bersama rakan-rakannya yang lain memegang motosikal supaya tidak terjatuh.

"Ketika cuba mengait umpan tiruan itu, secara tiba-tiba mereka berlima terkena renjatan elektrik sehingga menyebabkan semua mereka pengsan.

"Keempat-empat rakan mangsa (Muhammad Hariyz) sedar kembali tidak lama kemudian namun mangsa (Muhammad Hariyz) tidak sedarkan diri.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung dan setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan Muhammad Hariyz meninggal dunia," memetik laporan pada Khamis.

1234556

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang.

Beliau berkata, mayat Muhammad Hariyz dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Yukhrul menambah, empat lagi rakannya yang berusia 15, 16 dan 19 tahun mengalami kecederaan melecur di kaki, badan serta muka dengan kesemua mereka sedang menerima rawatan di HSB. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram