[VIDEO] 'Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih', Karnival Sukan Rakyat Desa Melor jadi contoh pupuk ukhwah sesama penduduk


  • Massa
  • Ahad, 29 Sep 2024

Suasana program yang dimeriahkan dengan lebih 80 peserta secara keseluruhan di kolam pancing Haji Jonid, Desa Melor pada Ahad.

PEMBUKAAN program Karnival Sukan Rakyat yang dilaksanakan oleh komuniti penduduk Desa Melor, Serendah, Selangor pada Ahad disambut meriah walaupun hanya dua aktiviti dilakukan.

Bagi acara permulaan, terdapat dua pertandingan dijalankan iaitu memancing dan memasak melibatkan beberapa kategori termasuk kanak-kanak di kolam pancing Haji Jonid, Desa Melor.

Pelaksanaan program tersebut adalah bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan sesama penduduk di lokasi itu.

BACA LAGI: 'Banyak je cara menyimpan, boleh guna konsep 6-2-1-1', perunding kewangan nasihat anak muda elak berhutang semata mahu ikut trend

BACA LAGI: Elak guna bahasa rojak, DBP galak anak muda berbangga guna bahasa kebangsaan

6325434332843459234

Karnival Sukan Rakyat diadakan di kolam pancing Haji Jonid pada Ahad.

Pengarah program, Razali Harun berkata, program berkenaan berjaya dilaksanakan dengan kerjasama beberapa entiti penting iaitu Persatuan Penduduk Desa Melor (PPDM), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Melor, pihak Surau At-Taqwa Desa Melor, badan bukan kerajaan (NGO) Sangar Suri Malaysia dan ramai lagi.

Berkongsi serba sedikit tentang perjalanan melaksanakan program, Razali berkata, ia merupakan satu aktiviti yang perlu diterapkan lebih banyak di kawasan perumahan kerana ia dapat membantu mengukuhkan ukhwah sesama manusia.

Menurutnya, setiap penduduk mempunyai peranan penting dalam menjayakan program yang dirancang selama empat bulan itu.

6325434332843459229

Razali (kiri) bersama individu-individu penting yang menjayakan program tersebut termasuk Mohd Hasnizan (dua dari kanan).

"Ia sememangnya tidak mudah, tetapi bila melihat hubungan dan interaksi mereka yang sangat rapat seperti keluarga buatkan saya lebih yakin untuk meneruskan program ini selama tiga hari lagi.

"Semua perkakas kami sediakan sendiri, untuk joran pula memang kami hasilkan dengan menggunakan bahan daripada sumber-sumber asli di sekitar sini.

"Kami berganding bahu bersama terutamanya dengan otai-otai dalam dunia memancing untuk buat batang joran daripada pokok bertam," katanya kepada Majoriti.

Di samping itu, program tersebut turut disokong penuh oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun yang teruja menyaksikan sambutan penduduk.

Bukan pertama kali, Mohd Hasnizan dapat melihat perkembangan positif dalam kalangan penduduk Desa Melor di samping terdapat beberapa isu dihadapi mereka seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebelum ini.

"Zaman sekarang ini, nak buat kerja-kerja masyarakat bukan mudah. Jadi, sebab itu saya melihat program ini sangat bagus untuk dilaksanakan.

"Lebih menariknya adalah bukan sahaja ada persatuan penduduk, tetapi juga persatuan pemilik yang menunjukkan bahawa ada pemilik tetapi tak tinggal di sini atau ada yang menyewa sahaja boleh sertai program ini, ia terbuka kepada orang luar juga.

"Ambil contoh lain seperti ketika nak angkat rumah Haji Jonid Ahmad untuk bagi laluan ECRL, kami satu kampung turun tolong. Daripada situ sahaja boleh nampak betapa pentingnya penyatuan masyarakat," katanya kepada Majoriti.

6325434332843459233

Majoriti peserta pertandingan memasak yang terdiri daripada golongan suri rumah.

Katanya lagi, program sedemikin boleh menjadi contoh kepada pihak persatuan penduduk di kawasan lain demi mewujudkan kawasan yang harmoni dan sejahtera.

Mohd Hasnizan berkata, selain memupuk perpaduan, ia juga menunjukkan keseimbangan peranan terhadap perbezaan jantina iaitu lelaki dan wanita.

"Bagi saya senang sahaja, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semua jawatankuasa boleh buat perkara sama bersama-sama menyokong usaha masing-masing," tambahnya.

Sementara itu, seramai hampir 80 peserta berdaftar dalam pertandingan memancing, manakala kira-kira enam peserta memasuki acara memasak dan menghias dalam program tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram