HASRAT seluruh penyokong bola sepak tempatan untuk melihat bakat muda, Arif Aiman Hanapi beraksi di luar negara semakin hampir menjadi kenyataan apabila penyokong kelab Scotland, Rangers FC berminat untuk mendapatkan bintang Harimau Malaya itu.
Penyokong Rangers FC yang dikenali sebagai The Rangers Journal turut meminta Ahli Lembaga Pengarah kelab tersebut, Nils Koppen untuk membawa masuk ‘Mr MVP’ (Pemain Paling Bernilai) di Liga Malaysia itu.
Kelincahan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menyaksikan namanya menarik perhatian penyokong Rangers.
BACA LAGI: Bergson da Silva curi perhatian, sarung jersi 42 milik Arif Aiman
BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu
Ramai penyokong Rangers mahu Arif Aiman yang sudah meledak empat gol dalam kempen ACLE musim ini beraksi untuk kelab berkenaan.
Namun jikalau benar perpindahan itu berlaku, bintang Harimau Malaya mempunyai beberapa saingan untuk merebut posisi sayap kanan pasukan.
Ketika ini, Arif Aiman muncul sebagai penyerang paling berbisa mengatasi pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo dalam saingan ACLE.
Majoriti senaraikan tiga bintang yang perlu dilepasi oleh Arif Aiman untuk merebut kesebelasan utama Rangers:
1. Vaclay Cerny
Rangers ketika ini mempunyai seorang pemain yang turut menyinar di posisi tersebut iaitu Vaclay Cerny yang mana dia menjaringkan enam gol dan melakukan lima 'assist' dalam 17 perlawanan setakat ini.
Sekiranya Arif menyertai Rangers pada jendela perpindahan Januari ini, maka pemain kebangsaan itu bakal bersaing dengan Cerny untuk merebut posisi sayap kanan.
Namun begitu, Arif berpeluang untuk menambat hati barisan kejurulatihan Rangers kerana Cerny merupakan pemain pinjaman daripada kelab Jerman, VfL Wolfsburg.
2. Ross McCausland
Pemain nasional Ireland Utara, Ross McCausland juga antara saingan yang perlu dihadapi oleh Arif Aiman jika menyertai Rangers.
Walaupun tidak mendapat minit permainan yang tinggi bersama Rangers, namun pengalamannya di peringkat tertinggi di Eropah menjadi kelebihan untuk mengatasi Arif Aiman.
Pemain berusia 21 tahun itu juga merupakan graduan Akademi Rangers dan telah melakukan 55 penampilan bersama kelabnya sejak 2023.
3. Tom Lawrence
Bekas graduan Manchester United, Tom Lawrence juga antara halangan yang perlu dilepasi Arif Aiman jika menyertai Rangers pada Januari ini.
Pemain berusia 30 tahun itu mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak Inggeris dengan menyertai beberapa kelab ternama seperti Leicester City, Cardiff City dan Ipswich Town.
Musim ini bersama Rangers, Lawrence telah menjaringkan lima gol dan dua bantuan jaringan dalam 15 penampilan di setiap kejohanan domestik dan antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram