[VIDEO] Bangga Mo Salah atasi rekod jaringan EPL, legenda Liverpool tahu isi hati 'The Egyptian King'


  • Podium
  • Isnin, 11 Nov 2024

Salah kini sudah mencetak 165 jaringan sepanjang beberapa tahun beraksi dalam EPL. — Agensi

SEBUAH lagi kemenangan bermakna direkodkan Liverpool dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka menundukkan Aston Villa 2-0 dalam aksi di Stadium Anfield pada Ahad.

Gol dalam perlawanan itu dijaringkan dua penyerang utama pasukan, Mohamed Salah dan Darwin Nunez yang meletakkan skuad The Reds di tangga teratas dengan jurang lima mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City.

Lebih manis lagi, aksi berkenaan menyaksikan Salah yang merupakan tonggak skuad kebangsaan Mesir mencetak jaringan ke-165 daripada 273 penampilan EPL buat Liverpool dan kelab terdahulunya, Chelsea.

BACA LAGI: Mula dapat rentak, bintang Liverpool akui lebih selesa dengan Arne Slot berbanding Klopp

BACA LAGI: Bekas bintang Liverpool-Chelsea dedah bezanya Klopp berbanding Slot

robbie-fowler-liverpool-manchester-united-manchester-united-man-united_3399520

Fowler pernah menjadi watak penting buat skuad The Reds bertahun-tahun lalu. — Agensi

Catatan berkenaan menyaksikannya mengatasi legenda The Reds, Robbie Fowler dalam carta 10 penjaring terbanyak EPL dengan bekas penyerang England tersebut berbangga dengan kejayaan penyerang sayap itu.

Malah, dia juga berharap agar tonggak kelab Merseyside itu dapat meneruskan prestasi cemerlangnya untuk berada di kedudukan ketujuh dengan hanya 11 gol diperlukan untuk memintas catatan Thierry Henry.

"Salah sudah memintas saya dalam carta penjaring terbanyak sepanjang masa dan saya amat berbangga dengannya. Saya adalah penyokong Liverpool, jadi jika dia terus mencetak gol, pasti saya gembira.

"Apa yang berjaya dicapainya di Liverpool adalah cukup hebat dan kini, dia sedang mengejar Henry yang merekodkan 175 gol EPL dalam kariernya. Saya yakin Salah akan mengatasi angka berkenaan dengan musim ini masih lagi panjang," katanya.

Fowler yang pernah diberi gelaran 'God' oleh penyokong The Reds sememangnya yakin dengan keupayaan penyerang sayap berkenaan yang menjadi watak utama buat pasukannya musim ini.

Selain prolifik di hadapan pintu gol, pemain berusia 32 tahun terbabit memiliki kepantasan dan kebolehan dalam melakukan hantaran bagi mencipta peluang buat rakan pasukan.

Kehadirannya menyaksikan skuad kendalian Arne Slot mengungguli carta EPL dengan 28 mata sudah diraih hasil sembilan kemenangan dan satu keputusan seri dalam 11 perlawanan.

Jelas Fowler lagi, cara Salah meraikan gol ketika berdepan Aston Villa juga memberi bayangan bahawa dia mahu kekal di Anfield, namun masih menanti kata putus daripada pihak pengurusan.

"Saya nampak itu adalah mesej bahawa dia mahu terus bersama Liverpool, tetapi keputusan berada di tangan pihak atasan. Saya percaya dia mahu terus berada bersama Liverpool dan saya tahu bukan saya sahaja yang berharap sedemikian," katanya.

Kontrak penyerang yang juga terkenal dengan jolokan 'The Egyptian King' itu difahamkan akan tamat pada penghujung musim 2024/25 selepas tiba di kelab berkenaan pada 2017 dengan Barcelona dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram