INSIDEN penukaran venue rumah pasukan lawan ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Bahru, Johor bukan perkara baharu dalam suasana bola sepak Malaysia.
Ia kerana sebelum ini sudah ada beberapa pasukan memilih Johor sebagai gelanggang neutral ataupun rumah sementara apabila stadium pasukan lawan tidak menepati piawaian yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Terbaharu, Perak FC pula memilih SSI sebagai venue bagi aksi perlawanan tertunda Liga Super selepas diminta untuk menamakan stadium alternatif, berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.
BACA LAGI: Xabi Alonso tolak tepi sejarah peribadi, fokus lawan Liverpool di Anfield
BACA LAGI: Bertukar venue ke SSI, fans Perak beri pantun khas tanda kecewa
Permintaan daripada MFL itu juga disebabkan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin akan merencatkan lagi jadual liga musim ini.
Venue perlawanan tertunda Liga Super antara Perak dan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung Ahad ini, kini ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Ini bukan pertama kali perpindahan venue ke Sultan Ibrahim berlaku, Majoriti senaraikan tiga pasukan pernah guna fasiliti JDT sebagai rumah sewa.
1. Kelantan Darul Naim FC
Kelantan Darul Naim (KDN) FC pernah memohon untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim sebagai perlawanan 'home' selepas Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu dalam proses baik pulih pada 22 September lalu.
Menurut Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), KDN memohon untuk penukaran lokasi perlawanan kerana proses baik pulih ketika itu dijangka siap pada pertengahan Oktober.
Ketika itu, peminat KDN, rata-ratanya menyifatkan permohonan itu sebagai 'anak jantan' berbanding beraksi di gelanggang berkecuali.
Perlawanan itu menyaksikan KDN tewas dengan keputusan 1-6 hasil jaringan hatrik Bergson da Silva, dua gol oleh Arif Aiman Hanapi dan jaringan sendiri pemain skuad Kijang Emas.
2. Malaysian University FT
Pasukan Liga A1 Semi Pro, Malaysian University FT juga pernah memohon kepada MFL untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang rasmi mereka menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA Malaysia pada 29 Jun lalu.
Malaysian University yang dijadualkan untuk menjadi tuan rumah aksi pertama tersebut bagaimanapun terpaksa memohon untuk bermain di SSI atas ketidaksesuaian stadium yang dimiliki mereka pada ketika itu untuk menjadi hos perlawanan Piala FA.
Malaysian University satu-satunya pasukan amatur daripada Liga A1 Semi Pro yang mara ke pusingan suku akhir Piala FA musim ini untuk mereka berdepan JDT.
Wakil pasukan Liga A1 Semi Pro itu tewas dengan agregat 0-13 sekali gus tidak layak ke pusingan separuh akhir Piala FA.
3. Kuching City FC
Kuching City FC tidak tersenarai antara pasukan yang memohon untuk menukar perlawanan 'home' di Stadium Sultan Ibrahim.
Tetapi Kuching City pernah meminjam fasiliti JDT iaitu Stadium Pasir Gudang sebagai 'home' mereka pada musim 2021 selepas berdepan masalah untuk menerima kunjungan pasukan lawan dari Semenanjung dengan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan kawalan penularan Covid-19.
Ketika itu, usaha bekas pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim untuk mendapatkan stadium di Semenanjung menumui jalan buntu selepas beberapa venue tidak mendapat kebenaran untuk digunakan sebagai ‘tuan rumah’. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram