LEGENDA Real Madrid, Marcelo dikhabarkan sudah meninggalkan kelabnya, Fluminense yang bersaing dalam Liga Brazil pada Sabtu selepas difahamkan bertengkar mulut dengan pengurusnya, Mano Menezes.
Perkara itu diumumkan pasukan berkenaan menerusi satu kenyataan rasmi mengatakan pemain berusia 36 yang kini berstatus ejen bebas dan boleh menyertai mana-mana kelab.
"Hubungan yang kukuh antara Fluminense dan Marcelo sememangnya kekal utuh. Kami di sini menghargai setiap sumbangan dan akan terus memberi sokongan kepadanya," tulisnya.
BACA LAGI: 'Pening' situasi Alexander-Arnold dengan Liverpool, Real Madrid mula sasar bek Tottenham
BACA LAGI: Masih tak cukup, tonggak pertahanan Arsenal kini dalam radar Real Madrid
Marcelo wajar diangkat sebagai salah seorang pertahanan sayap terbaik dalam generasinya. — Agensi
Setakat ini, bek kiri berkenaan masih berdiam diri mengenai perpisahannya dengan tiada kelab dilaporkan bersedia untuk mendapatkan khidamtnya yang semakin berusia itu.
Dalam aksi Liga Brazil antara Fluminense dan Gremio pada Sabtu, Marcelo dirakam bertikam lidah dengan Menezes ketika hendak dibawa masuk apabila dia difahamkan mengingkari arahan diberikan.
Berang dengan tindakan bekas pemain antarabangsa Brazil berkenaan, pengurus itu kemudian mengarahkannya untuk kembali ke bangku simpanan dan membawa masuk anak buahnya yang lain.
"Saya pada awalnya berfikir untuk membawanya masuk, namun terpaksa mengubah fikiran kerana saya terdengar sesuatu yang tidak saya gemari. Malah, saya melihat dia tidak akan membuat perubahan ketara dalam pasukan.
"Ini kerana saya mahu memasukkannya kerana hendak mengekalkan kedudukan semasa dengan waktu perlawanan hanya berbaki dua atau tiga minit sahaja," katanya.
Keretakan hubungan bagaimanapun bukanlah sesuatu yang baharu kerana beberapa laporan sebelum ini mengatakan Marcelo mempunyai ego tersendiri di dalam bilik persalinan.
Sepanjang semusim beraksi di kelab lamanya itu, pemain pertahanan sayap tersebut berhasil menjuarai Copa Libertadores yang setaraf dengan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Amerika Selatan.
Namun, sumbangannya tersebut masih kurang dipandang memandangkan dia kini sudah semakin berusia dan melepasi kemuncak kariernya kerana sudah bertahun-tahun beraksi di Eropah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram