
KEPUTUSAN memilih Laos sebagai lawan buat Harimau Malaya dalam aksi persahabatan pada Khamis menimbulkan pertikaian ramai kerana orang ramai tidak berpuas hati dengan kelewatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini kerana penyokong beranggapan badan induk bola sepak negara tersebut sepatutnya memilih lawan lebih mencabar, termasuk negara sekitar Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia.
Namun, pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente, tampil mempertahankan pemilihan negara tersebut menjelang aksi persahabatan di Stadium PAT, Bangkok, Thailand.
BACA LAGI: 'Midfield' tempang tanpa Natxo Insa-Mukhairi, Pau Marti taruh harapan tinggi kepada duo berbisa
BACA LAGI: Sedar kemampuan New Zealand, Harimau Malaya miliki peluang cipta sejarah — Pau Marti
Harimau Malaya sudah menjalani sesi latihan menjelang aksi persahabatan. — Facebook/FAM
Jurulatih dari Sepanyol itu menegaskan pihaknya mempunyai objektif tersendiri dalam pertemuan dengan pasukan di ranking ke-187 dunia itu sebelum bertemu pasukan di ranking ke-125, India, di Hyderabad pada Isnin depan.
"Saya fikir ia peluang yang baik untuk kita bermain di gelanggang lawan bertemu pasukan dengan dua cara permainan berbeza," kata Pau Marti kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Sebelum ini, penyokong Harimau Malaya berpendapat pasukan yang kini berada di ranking ke-133 dunia itu sepatutnya tidak lagi bertemu pasukan di kedudukan lebih rendah, sebaliknya perlu mengharungi perlawanan berkualiti tinggi menentang pasukan handalan Asia.
Meskipun rekod berdepan skuad lebih berkualiti tidak menghadiahkan keputusan baik, aksi sedemikian boleh memberikan pendedahan selain membuka peluang untuk menambah baik kedudukan.
Jelas Pau Marti lagi, aksi berdepan Laos dan India juga berada dalam perancangan Harimau Malaya yang akan bersaing dalam pertandingan pada masa terdekat.
"Kita boleh katakan yang kami sedang memikirkan mengenai persiapan bagi menjalani Piala AFF. Kita juga akan menghadapi perlawanan yang amat sukar dalam pusingan kelayakan Piala Asia tahun depan, jadi berdepan India amat bagus untuk persediaan pasukan," katanya.
Selepas jendela FIFA kali ini, skuad kebangsaan akan bersaing dalam Piala AFF dengan mereka sudah diundi di samping Kemboja, Singapura, Thailand dan Timor Leste bermula 8 Disember nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram