Sedar kemampuan New Zealand, Harimau Malaya miliki peluang cipta sejarah — Pau Marti


  • Podium
  • Ahad, 13 Okt 2024

Sebahagian sesi latihan Harimau Malaya yang pastinya mahu mendapatkan keputusan positif aksi berdepan New Zealand. — Facebook/FAM

PENGENDALI sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyeru agar barisan pemain skuad kebangsaan tetap berwaspada menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada Isnin.

Menurut Pau Marti, saingan sengit dijangka akan dipamerkan oleh skuad All Whites itu memandangkan mereka akan beraksi di gelanggang sendiri.

"Saya menjangkakan ia satu perlawanan yang sangat sukar kerana New Zealand mempunyai ramai pemain yang beraksi di Eropah.

"Biasanya, pasukan kebangsaan mereka bermain di luar negara, jadi bagi mereka, bermain di laman sendiri pasti akan menjadi satu motivasi besar.

"Mereka pastinya mahu meraih kemenangan, jadi kami mesti bersedia untuk menghadapi perlawanan yang sangat sukar itu," katanya dalam satu video FAMTV.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Baru best tengok takraw Malaysia, aksi final regu Lembah Klang tanpa import jadi tumpuan

BACA LAGI: STL 2024: Tiga import Thailand 'padu' berjaya curi perhatian penyokong

WhatsApp Image 2024-10-13 at 18.57.42

Pau Marti melihat aksi menentang New Zealand sebagai peluang menempa nama dalam catatan sejarah bola sepak negara.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu melihat perlawanan menentang New Zealand sebagai peluang untuk mencipta sejarah dalam bola sepak negara.

"Bagaimanapun, saya yakin skuad kebangsaan mampu mencipta sejarah dalam perlawanan tersebut.

"Kita mempunyai peluang baik untuk memperbaiki ranking FIFA jika kita menang esok (Isnin), jadi ini adalah satu peluang besar untuk Malaysia.

"Kita juga mempunyai motivasi untuk menjadi lebih baik dan terus memperbaiki ranking FIFA, dan saya percaya kita mampu mencapainya," kongsinya.

Untuk rekod, ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak aksi persahabatan terakhir yang diadakan pada 23 Februari 2006 yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada New Zealand di Auckland. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram