KUALA Lumpur Thunder membuktikan status selaku gergasi sepak takraw Malaysia apabila muncul juara keseluruhan saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024.
Kemenangan di Grand Prix (GP) Johor itu memastikan pasukan Lembah Klang tersebut menyapu bersih kesemua gelaran dalam siri jelajah saingan GP musim ini.
Dari GP Selangor hingga GP Johor, KL Thunder menunjukkan aksi konsisten dengan tidak membenarkan mana-mana pasukan menewaskan mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan hanya aksi sengit, STL 2024 hidang 3 momen menarik GP
Meskipun begitu, hasrat KL Thunder itu tidak kesampaian apabila muncul dua pasukan lain yang berjaya mencalarkan rekod kebal wakil kelab Lembah Klang itu.
Nampak sukar tapi dengan kemahiran dan taktikal yang betul nampaknya KL Thunder terpaksa akur jua dengan kekuatan kedua-dua pasukan tersebut.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan dua pasukan yang pernah menundukkan KL Thunder.
1. Negeri Sembilan Antlers (GP Terengganu)
Selepas berjaya mencatatkan rekod bersih dalam kesemua perlawanan GP Selangor sekali gus muncul juara, KL Thunder terpaksa berputih mata apabila Negeri Sembilan Antlers muncul pasukan pertama yang memberikan saingan sengit dalam GP Terengganu.
NS Antlers yang dibarisi oleh Haziq Nizam selaku tekong utama berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan selepas meraih keputusan 1-1.
Meskipun berdepan pasukan yang dibarisi oleh pemain negara seperti Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir namun semangat juang yang ditampilkan oleh NS Antlers nyata membuahkan hasil apabila berjaya menundukkan juara bertahan itu dengan keputusan 15-9 pada set penentuan.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu itu menyaksikan NS Antlers muncul pasukan pertama yang mencalarkan rekod baik KL Thunder dengan keputusan akhir 10-15,15-11,15-9 dalam peringkat Kumpulan B.
Dengan kemenangan berharga itu, pastinya ia menjadi momen indah buat NS Antlers kerana berjaya mencipta sejarah menundukkan juara bertahan STL musim ini.
2. Perak Bison (GP Johor)
Sebut sahaja Perak Bison sudah pasti banyak pasukan gerun mendengar nama pasukan Utara tanah air itu.
Juara bertahan STL musim lalu itu dalam empat GP sebelum ini terpaksa berputih mata apabila berdepan cabaran sengit untuk menundukkan KL Thunder.
Bagaimanapun, siapa sangka dalam GP terakhir di Johor musim ini, pasukan yang dibarisi oleh Kritsada Sungvung (tekong), Aidil Aiman (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) menjadi pasukan kedua menundukkan KL Thunder.
Dalam peringkat Kumpulan C, KL Thunder yang mempertaruhkan Zarif Merican selaku tekong, Amirul Zazwan dan Azlan gagal mengekang serangan daripada Perak Bison.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Arena Larkin, Johor itu menyaksikan Perak Bison meraih kemenangan 15-6,8-15,15-10 bertemu KL Thunder.
Untuk rekod, kemenangan itu merupakan kali pertama dan terakhir Perak Bison berpeluang menewaskan juara bertahan musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram