SAINGAN Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Johor sudah pun melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Kuala Lumpur Thunder muncul juara sekali lagi selepas menafikan hasrat Negeri Sembilan Antlers (17-15, 10-15, 15-12) ke pentas final pada Sabtu.
KL Thunder jelas begitu sukar untuk ditumpaskan oleh mana-mana pesaing dalam saingan STL musim ini apabila menyapu bersih kesemua gelaran termasuk di GP Johor.
Dengan berlabuhnya tirai di bumi Johor itu, sudah pasti banyak cerita suka duka dan pahit manis yang menghiasi kejohanan tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: KL Thunder pasukan paling solid, tiada kelemahan — Pengurus Johor Tigris
Bagaimanapun, terdapat juga beberapa momen dan kejutan yang mewarnai GP Terengganu yang pastinya diingati oleh peminat tanah air.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga momen menarik sepanjang tempoh siri jelajah GP itu.
1. Jaring koyak
Satu perkara epik terjadi ketika perlawanan suku akhir GP Penang antara Terengganu Turtles dan Johor Tigris apabila servis tekong The Turtles, Zulkifli Razak, menembusi jaring sehingga menyebabkan permainan terhenti seketika.
Zulkifli Razak atau mesra dengan panggilan Sobey itu berjaya memukau penonton yang hadir untuk menyaksikan kelajuan servis yang dihasilkan olehnya.
Menariknya, momen berkenaan menyaksikan kali pertama jaring kejohanan tersebut terkoyak selepas 10 tahun penganjuran STL.
Ekoran insiden tersebut, aksi terpaksa dihentikan seketika untuk memberi ruang pihak penganjur menukar jaring baharu.
Begitu pun, Terengganu tidak berdepan masalah untuk menempah slot mereka ke separuh akhir selepas menewaskan Johor Tigris yang bergelut untuk mempersembahkan aksi terbaik mereka untuk tewas 15-8, 15-12.
2. Libasan 'double'
Ramai yang pasti sudah mengenali rancangan siri kartun dan manga terkenal, Kapten Tsubasa.
Namun, tahukah anda bahawa salah satu babak dalam cerita tersebut hampir serupa dengan kejadian sebenar yang berlaku dalam saingan STL musim ini?.
Kejadian itu berlaku antara pertemuan Selangor Pistons dan Johor Tigris dalam saingan suku akhir GP Perak pada Oktober lalu.
Dalam perlawanan tersebut, berlaku perselisihan faham antara tekong Johor Tigris, Udomsak Nakhwong dan perejamnya, Syahmi Syazwan Aziz yang dilihat berebut untuk melakukan rejaman.
Walaupun mereka berjaya meraih mata dalam perebutan bola rotan tersebut, malangnya, keputusan juri tidak membenarkan mata tersebut kerana mereka dikesan melanggar peraturan sepak takraw dengan melakukan empat sentuhan.
Dalam aksi tersebut, Johor Tigris terpaksa akur apabila tewas 15-13, 16-17,7-15.
Barisan bintang The Bos Gaurus yang hadir memberi sokongan kepada Perak Bison dalam saingan yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh baru-baru ini.
3. Kunjungan pemain Liga Super
Kehangatan saingan STL musim ini diserikan dengan kehadiran pasukan Perak FC, bintang dari Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim.
Kehadiran barisan pemain Perak FC di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak itu menunjukkan semangat kesukanan yang kuat antara atlet dari pelbagai sukan di negeri Perak.
Sama juga dengan pemain sayap Sang Penyu, Akhyar Rashid yang hadir ke Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu untuk memberi sokongan kepada Terengganu Turtles khususnya.
Bukan itu sahaja, kelibat pemain Harimau Selatan, Syafiq Rahim turut kelihatan dalam perlawanan akhir GP Johor.
Usaha ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kedua-dua sukan, tetapi juga memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menghargai dan menyokong pelbagai jenis sukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram