KEJOHANAN Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup 2024 akan menyaksikan lapan pasukan terbaik dari Asia berentap dalam usaha merebut gelaran juara di Stadium MBSJ Serdang Jaya, Selangor bermula 13 hingga 17 November ini.
Pertandingan berprestij itu dijangka meriah dengan kehadiran empat pasukan jemputan antarabangsa iaitu Royal Thai Air Force Takraw Club (Thailand), Garuda Sepak Takraw (Indonesia), India Fighters (India) dan MGPC Singapore (Singapura) yang dilihat sudah bersedia mencabar empat pasukan tempatan terbaik dari STL Premier.
Empat pasukan terbaik Liga Premier tersebut ialah juara bertahan, Kuala Lumpur Thunder, Negeri Sembilan Antlers, Perak Bison dan Selangor Pistons apabila meraih pungutan mata yang tinggi selepas lima siri jelajah Grand Prix.
BACA LAGI: [VIDEO] Cetak gol tunggal bertemu Harimau Kumbang, Ubai mahu Sang Penyu lebih agresif, berani
BACA LAGI: Bola sepak Sabah kembali 'bernafas', kontrak Kim Swee akhirnya disambung
Skuad negara bergelar juara dalam acara regu dan double dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Menariknya saingan musim ini, peminat bola rotan tanah air sekali lagi berpeluang untuk meyaksikan aksi berkualiti ditampilkan legenda seperti Siriwat Sakha dan Pichet Pansan yang mewakili pasukan dari Thailand itu.
Bagaimanapun, melihat kepada 'line-up' daripada pasukan Royal Thai Air Force, ramai penyokong beranggapan bahawa wakil dari Thailand itu seolah-olah membawa misi balas dendam berikutan kekalahan dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 Mei lalu.
Menerusi 'line-up' yang dikongsikan di laman Facebook BOLAROTANTV, dua pemain Thailand yang pernah beraksi dalam saingan Piala Dunia iaitu Siriwat Sakha dan Pichet Pansan tersenarai.
Selain itu, dua lagi tonggak Thailand, Varayut Jantarasena dan Sittipong Kamchan, turut berada dalam senarai awal Royal Thai Air Force namun mereka kemudiannya digugurkan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu sebelum ini menyaksikan pasukan Thailand terpaksa akur akan kekuatan skuad negara selepas tewas dalam acara regu dan double.
"Kalau tengok line-up Air Force ini dah macam regu Thailand, ini mesti nak balas dendam sebab kalah Piala Dunia tempoh hari," kata Ahmad Akil.
"Skuad Thai kali ini nak balas dendam kekalahan Piala Dunia, jika mana-mana pasukan yang bertemu pasukan ini, first ball tekong sangat penting," kata Azmir Abd Salim Ibrahim.
"Lain macam line-up Air Force, nasib baik dua orang pemain itu tidak dapat ikut, kalau tak memang nampak dah siapa juara," kata Haikal Amir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram