SEJAK perginya bekas pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak ke Indonesia, pelbagai spekulasi mengaitkan beberapa nama di Malaysia untuk ke sana.
Sebelum ini, kita mendengar nama pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dengan salah sebuah pasukan di sana. Malah, penyerang Sri Pahang FC iaitu Sergio Aguero turut dikaitkan dengan perpindahan ke sana.
Kini, nama pemain pertahanan Sabah iaitu Gabriel Peres dikaitkan untuk menyertai Hodak di Persib Bandung. Tetapi, mungkin ada nama lain juga akan menyusul.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap tiga nama yang boleh Hodak dapatkan dari skuad Badak untuk kuatkan Persib Bandung:
1. Irfan Zakaria
Satu nama yang tidak asing lagi dalam memori Hodak. Irfan merupakan salah seorang pemainnya ketika berada di KL City.
Sering menjadi sandaran di bahagian pertahanan, Irfan merupakan salah seorang pemain yang kerap diturunkannya ketika di Cheras.
Lebih menarik, Irfan adalah salah seorang daripada alumni KL City yang memenangi Piala Malaysia 2021 ketika menewaskan Johor Darul Takzim.
Irfan Zakaria menjadi nadi pertahanan KL City kendalian Bojan Hodak. — Facebook/FAM
Walaupun dianggap sebagai pemain yang keras ketiak bertahan, minit permainan Irfan adalah terhad pada musim ini. Untuk rekod, dia hanya beraksi sebanyak 14 kali dalam saingan Liga Super.
Disebabkan itu, ia mungkin boleh membuka jalan buat Irfan menceburkan diri ke Indonesia bagi mendapatkan minit yang lebih. Siapa tahu?
2. Daniel Ting
Juga merupakan salah seorang daripada alumni KL City yang merangkul Piala Malaysia 2021, Daniel boleh menjadi sasaran perpindahan Hodak selain Irfan.
Pemain yang lebih kerap diturunkan di Sabah, Ting menonjolkan dirinya sebagai salah seorang pertahanan yang kental bertahan dan mampu menjaringkan gol.
Daniel Ting sering menjaringkan gol untuk Sabah. — Facebook/Sabah FC
Sudah melakukan 17 penampilan liga, tiga di Piala AFC serta satu untuk Piala Malaysia, Ting sudah berjaya menghasilkan lima gol (4 liga, 1 Piala Malaysia).
Malah bukan sahaja gol, Daniel juga melakukan bantuan gol untuk Sabah sebanyak empat kali. Seorang pemain yang berguna untuk Hodak jika di Persib Bandung.
3. Saddil Ramdani
Nama ini mungkin sukar untuk didapati kerana Saddil adalah pemain utama Kim Swee dalam skuad Sabah.
Tetapi tidak salah untuk cuba bukan? Tawaran kembali beraksi di negara asal serta bermain dengan salah sebuah gergasi bola sepak Indonesia pasti akan menarik perhatian Saddil.
Saddil Ramdani merupakan ayam tambatan Sabah. — Facebook/Sabah FC
Saddil musim ini telah menghasilkan enam gol serta sembilan bantuan gol dalam 15 saingan Liga Super. Ini dilihat sebagai satu rekod baik untuk pemain sayap.
Jika Hodak berminat, dia mungkin perlu meminta pengurusan Persib Bandung mengeluarkan sedikit dana bagi membawa pulang Saddil ke Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram