'Loyalty makes us family', seperti diduga, keberadaan Tan Cheng Hoe kini diketahui


  • Podium
  • Rabu, 06 Nov 2024

Cheng Hoe sebelum ini memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Selangor sebelum menyertai kelab Thailand, Police Tero FC pada awal tahun ini.

TEKA-TEKI keberadaan bekas jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe kini menemui jawapannya selepas beliau kelihatan bergambar bersama keluarga Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika meraikan kemenangan ke atas Ulsan Hyundai pada Selasa (5 November).

Skuad kendalian Hector Bidalgio mudah menundukkan pasukan yang dibimbing oleh Kim Pan-gon dengan keputusan 3-0 hasil jaringan Arif Aiman Hanapi, Oscar Arribas dan Bergson da Silva di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor bagi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Menerusi posting dimuat naik oleh platform media sosial JDT, Cheng Hoe yang memakai baju berwarna hitam meraikan kemenangan Harimau Selatan bersama pemilik Harimau Selatan, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

BACA LAGI: Keputusan MFL, Perak FC satu penghinaan buat penyokong — Bekas YDP Majlis Perbandaran Manjung

BACA LAGI: [VIDEO] Masalah 'home ground' seperti Perak FC, 3 pasukan pilih fasiliti JDT jadi 'rumah sewa'

Sebelum ini, Cheng Hoe dikaitkan dengan jawatan selaku Pengarah Teknikal JDT selepas TMJ memutuskan untuk melantik semula Hector Bidalgio sebagai ketua jurulatih musim ini bagi menggantikan Esteban Solari yang menyertai kelab Chile, CD Everton.

Bekas jurulatih kebangsaan itu membantu Selangor berada di pentas Asia musim ini selepas menamatkan kedudukan Gergasi Merah sebagai naib juara Liga Super 2023.

Tampil cemerlang bersama Selangor, Cheng Hoe menerima lamaran daripada kelab tercorot Thailand, Police Tero untuk menyelamatkan pasukan itu daripada terus tersingkir ke divisyen kedua negara itu.

Namun magis Cheng Hoe hanya terhenti di Selangor selepas beliau tidak berjaya menyelamatkan Police Tero daripada tersingkir dan telah ditamatkan kontraknya oleh pihak pengurusan.

Kini khabar angin sekali lagi bertiup kencang apabila nama Cheng Hoe dicanang sebagai pengganti Nidzam Jamil yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Selangor pada bulan lalu.

Selain Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee juga menjadi bualan penyokong untuk menduduki kerusi panas yang ditinggalkan oleh Nidzam selepas tampil cemerlang bersama Selangor musim ini.

Sebelum meninggalkan Selangor, Nidzam telah memacu Gergasi Merah di tempat kedua saingan Liga Super, finalis Piala FA dan pendahulu Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Kini menjadi persoalan penyokong adakah Cheng Hoe akan diberikan jawatan di JDT ataupun mengendalikan pasukan lain dalam saingan Liga Super? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram