KETIKA ini, beberapa kelab di Liga Super sedang tidak mempunyai jurulatih tetap dengan Penang FC merupakan salah satu daripadanya.
Hal ini kerana, mereka memilih untuk merehatkan Akmal Rizal selepas rentetan prestasi buruk dialami Harimau Kumbang dalam Liga Super.
Kini, mereka sedang mencari beberapa nama berpotensi dengan kemungkinan seorang legenda akan tiba di Stadium Bandaraya.
BACA LAGI: Gaji tak sangkut, cuma fans pelik kenapa Penang FC ‘toya’ berdepan kelab bernasib lebih malang
Azzmi Aziz
Satu nama yang disebut boleh menjadi pengendali baharu Penang adalah bekas jurulatih Negeri Sembilan FC iaitu Azzmi Aziz.
Namanya mula menjadi tumpuan pada musim lalu apabila berjaya menjadikan PDRM FC sebagai kelab yang sering mencipta kejutan menentang pasukan utama hinggakan namanya disunting oleh Negeri Sembilan FC.
Azzmi direhatkan daripada jawatannya sebagai jurulatih Negeri Sembilan.
Namun begitu, permulaan perlahan bersama Negeri Sembilan pada awal musim membuatkan dia terpaksa direhatkan dan mengisi posisi pengarah teknikal di kelab tersebut.
Jika Penang berminat mendapatkannya, Azzmi adalah seorang jurulatih berkualiti yang mampu meningkatkan kualiti pasukan walaupun skuad kelihatan sederhana.
Sulaiman Hussin
Seorang lagi calon yang berpotensi menggantikan Akmal di Penang adalah Sulaiman Hussin.
Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) ini turut mempunyai pengalaman luas sebagai jurulatih dengan tugas kejurulatihan terakhirnya adalah menjadi pembantu Irfan Bakti di Kuching City FC.
Sulaiman pernah menjadi pembantu Irfan Bakti di Kuching City.
Prospek untuk kembali ke menjadi jurulatih pastinya menarik perhatian Sulaiman dengan Penang dilihat sebagai skuad berpotensi untuk maju jika diberikan latihan sebaiknya.
Menjadi pengarah teknikal dan jurulatih pastinya berbeza, dan Sulaiman sudah pasti lebih memilih untuk menjadi pengendali dan menguruskan pasukan secara hands-on bersama Penang.
Abbas Saad
Legenda yang dimaksudkan bakal menjadi pengendali baharu Penang adalah bintang dari Australia iaitu Abbas Saad.
Nama Saad bukannya asing dalam bola sepak Malaysia. Dia pernah mencipta sensasi apabila beraksi bersama-sama Johor dan Singapura ketika negara republik itu masih bertanding dalam liga kita.
Saad merupakan legenda buat Johor dan Singapura.
Saad sentiasa diingati apabila dia menjaringkan hatrik ketika Singapura menewaskan Sri Pahang dalam aksi akhir Piala Malaysia 1994 yang merupakan gelaran terakhir mereka sebelum meninggalkan bola sepak tempatan.
Menjadi pengendali sementara Central Coast Mariners di Australia musim lalu, kepulangan Saad ke bola sepak tempatan pastinya akan menarik perhatian dan mungkin dapat membantu Penang kembali mencabar semula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram