SEORANG lelaki yang tular mengamuk di sebuah plaza tol dekat Jalan Batu 9, Cheras, Selangor didapati berada di bawah pengaruh bahan terlarang ketika insiden itu berlaku.
Lelaki tersebut sebelum ini tular di media sosial kerana mengamuk selepas ditegur oleh jurutol kerana mengetuk tempat pengimbas kad Touch n Go di salah satu lorong plaza tol itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, suspek sempat menendang dengan kuat dinding kaunter tol sambil mengeluarkan kata-kata kesat.
"Dalam video itu, seorang lelaki dilihat keluar dari kenderaan dan menuju ke kaunter tol sambil memarahi jurutol.
"Suspek turut bertindak menendang dinding kaunter tol tersebut dan kemudiannya beredar dari lokasi kejadian.
"Berdasarkan siasatan, punca kejadian kerana suspek ditegur mengetuk tempat kad 'Touch n Go' dengan kuat semasa menggunakan perkhidmatan itu.
"Berang kerana ditegur, suspek mengamuk dan memarahi mangsa dengan bahasa kesat serta menendang dinding kaunter tol," katanya.
Naazron juga berkata mekanik tersebut berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu dan sebenarnya mempunyai rekod jenayah lampau.
Dia kemudiannya ditahan di sebuah taman perumahan dekat Hulu Langat, sekitar pukul 7 malam pada Isnin bersama-sama kenderaan jenis Perodua Alza miliknya.
Menerusi ujian air kencing didapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai 17 rekod jenayah lampau.
Suspek kemudiannya ditahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dihukum denda sebanyak RM100 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis akan mengemukakan permohonan reman terhadap suspek pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram