"MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan Perak FC hina banyak pihak."
Demikian respon negatif yang dilontarkan oleh penyokong Perak susulan pemilihan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor sebagai venue perlawanan Liga Super yang tertangguh pada bulan lalu akibat hujan lebat.
Perlawanan yang sepatutnya dimainkan di Stadium Manjung, Perak tidak mendapat kelulusan daripada pihak MFL atas beberapa faktor yang tidak menepati piawaian perlawanan Liga Super.
BACA LAGI: [VIDEO] Masalah 'home ground' seperti Perak FC, 3 pasukan pilih fasiliti JDT jadi 'rumah sewa'
BACA LAGI: Bertukar venue ke SSI, fans Perak beri pantun khas tanda kecewa
MFL sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Stadium Manjung mempunyai masalah lampu lipah dan tidak sesuai untuk dimainkan atas faktor keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi.
Badan penganjur Liga Malaysia itu juga mahu mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin akan menangguhkan lagi jadual Liga Super bagi separuh musim ini yang masih belum lengkap.
Keputusan yang dibuat kali ini juga untuk memastikan undian Piala Malaysia 2024-25 pada 11 November 2024 dapat berjalan seperti yang dirancang.
Menerusi komen Bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Manjung di Facebook Perak FC, Syamsul Hazeman Salleh mengganggap keputusan pihak pengurusan Perak bagai satu penghinaan kepada setiap pihak terlibat.
Syamsul berpendapat Stadium Manjung antara venue terbaik ketika berlakunya hujan lebat apabila tidak pernah mempunyai masalah permukaan padang.
"Satu penghinaan pada pengurusan Stadium Manjung yang dah terbukti tak pernah ada masalah bila hujan lebat.
"Jauh lebih baik dari stadium negeri-negeri lain, lepas ini kalau hujan Perak FC jangan main dekat stadium itu lagi dah," katanya.
Tambahnya lagi, masalah lampu limpah tidak perlu menjadi isu utama kerana perlawanan lain boleh dimainkan pada sebelah petang di Stadium Manjung.
"Masalah lampu limpah? Kenapa 'game' lain boleh main waktu siang?
"Keselamatan? Sekali lagi penghinaan pada PDRM yang tak berkeupayaan untuk menjaga ketenteraman awam di Manjung," jelasnya lagi.
Syamsul yang juga bekas YDP Majlis Perbandaran Manjung berpendapat keputusan dicapai oleh MFL dan Perak FC bagai satu penghinaan kepada penyokong.
Ini selepas pihak tuan rumah dinafikan menjadi tuan rumah kepada perlawanan berprofil tinggi seperti yang dinyatakan oleh pihak MFL.
Sebelum ini, Perak telah menerima dua kunjungan pasukan lawan iaitu Sabah FC dan Terengganu FC yang mana kedua-dua aksi itu dimainkan di Stadium Manjung pada sebelah petang.
Dua aksi di Stadium Manjung itu menyaksikan Perak hanya mengutip satu mata selepas seri ke atas Terengganu dan tewas 2-4 di tangan Sabah.
Untuk rekod, Stadium Manjung sebelum ini menjadi pilihan pasukan PKNP FC dan Manjung City FC sebagai venue tuan rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram