PENGANJURAN Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA2024) oleh Bahagian Permata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), berjaya menarik perhatian umum malah menyediakan platform penting bagi masyarakat agar lebih cakna mengenai autisme.
Program yang memberikan fokus khusus kepada kanak-kanak berkeperluan khas, terutamanya melalui aspek intervensi awal, merupakan satu langkah penting KPM dalam memastikan pendidikan inklusif dapat disalurkan kepada kanak-kanak berkeperluan khas supaya mereka juga diberi peluang pendidikan yang sama seperti pelajar lain.
Dalam usaha untuk menyerlahkan potensi dan kebolehan kanak-kanak autisme, KLIA 2024 menjadi platform yang menghubungkan masyarakat dengan kaedah intervensi awal autisme.
BACA LAGI: Terima bajet paling besar, KPM komited pastikan tiada murid terpinggir
Fadhlina beramah mesra dengan kanak-kanak Permata Kurnia.
Ia juga bertujuan memberikan gambaran positif kepada ibu bapa dan komuniti bahawa individu autisme mampu menyumbang kembali kepada masyarakat melalui kemahiran yang dimiliki dalam pelbagai bidang pekerjaan yang bakal diceburi suatu hari nanti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, menerusi perasmian tersebut, penekanan diberikan terhadap tiga aspek utama program. Pertama, memperluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti.
Aspek kedua pula adalah memastikan penglibatan ibu bapa yang berkualiti dalam proses pendidikan anak-anak berkeperluan khas, manakala ketiga, memberi peluang kepada masyarakat untuk memanfaatkan pelbagai inisiatif serta bahan pameran yang terdapat di reruai-reruai pameran.
"Perasmian ini turut menerima sokongan penuh daripada KPM, dengan harapan program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
"Program ini sangat penting dalam usaha membina keyakinan, kepercayaan dan memperkukuhkan lagi pendidikan kanak-kanak autisme.
"Khususnya dalam aspek intervensi awal, ini merupakan satu langkah penting bagi memastikan pendidikan inklusif dapat diteruskan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Karnival Intervensi Awal Lestari 2024.
Fadhlina merasmikan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA’2024) di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju.
KPM juga yakin bahawa dengan pelaksanaan program ini, masa depan kanak-kanak berkeperluan khas akan terjamin apabila mendapat sokongan yang sewajarnya.
Bukan sahaja dapat memupuk kesedaran awam, tetapi karnival itu juga memberi peluang kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme untuk belajar dan berkongsi pengalaman tentang cara terbaik untuk menyokong anak-anak mereka.
Sementara itu, salah seorang ibu kepada anak autisme yang menghadiri KLIA 2024, Rajesweri Paramasevam berkata, penganjuran program sedemikian amat penting dalam meningkatkan pemahaman kepada masyarakat.
"Walaupun kita sering kali cuba menyedarkan umum mengenai realiti sebenar autisme, namun masih juga ramai yang tidak faham.
"Dengan adanya karnival besar seperti ini di tempat awam, ia menjadi tarikan buat orang ramai untuk datang seterusnya mengetahui lebih lanjut tentang apa itu autisme," katanya.
Rajesweri (kanan) bersama anaknya, Rajendrra (tengah) ketika Majlis Pelancaran Karnival Intervensi Awal Lestari 2024.
Rajesweri turut menekankan kepentingan program itu bagi ibu bapa yang baru mengetahui anak mereka mempunyai autisme.
"Ibu bapa yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas mendapat tahu anak ada autisme boleh datang ke sini (karnival) dan mendapatkan idea serta panduan.
"Mereka juga boleh berkomunikasi dengan pihak sekolah dan pakar-pakar dalam bidang ini.
"Karnival ini memberi harapan kepada ibu bapa bahawa anak-anak autisme juga boleh berjaya dalam hidup. Mereka boleh belajar berniaga, berkomunikasi dan mengembangkan bakat mereka," tambahnya lagi.
Adli Yahya (kiri) bersama anaknya Luqman (kanan).
Dalam pada itu, pengasas Projek Autism Cafe, Mohd Adli Yahya turut berkongsi inspirasi di sebalik inisiatifnya yang kini sudah memasuki tahun kelapan.
Projek ini bermula dengan tujuan ingin membantu anaknya, Luqman, yang merupakan seorang remaja autisme agar mampu berdikari. Kini Projek Autism Cafe berkembang menjadi platform untuk remaja autisme lain menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan selepas tamat sekolah.
"Remaja autisme, terutama yang sudah habis sekolah, sangat sukar untuk mencari kerja. Kalau dapat kerja pun, agak sukar untuk kekal dan itu adalah satu cabaran besar.
"Projek ini pada asalnya untuk anak saya, tetapi bila saya lihat impak positifnya, saya buka peluang untuk remaja autisme lain juga.
"Projek ini bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan tetapi juga membantu remaja autisme untuk berinteraksi dengan orang lain dan membina persahabatan.
"Mereka ini biasanya tak ada kawan. Jadi, dengan adanya projek macam ini, mereka boleh berkawan, berlatih berkomunikasi, dan berinteraksi dengan lebih baik," katanya lagi.
Masyarakat berpeluang memanfaatkan pelbagai inisiatif serta bahan pameran yang terdapat di reruai-reruai pameran.
Tambahnya lagi, Autism Cafe juga mengajar remaja autisme melakukan aktiviti harian seperti membeli barang, keluar bersiar-siar dan menghadiri aktiviti sosial.
"Kami mahu mereka merasai kehidupan. Dengan bekerja di kafe ini, ia bukan sahaja menyediakan pendapatan tetapi juga menjadi satu bentuk terapi melalui pekerjaan.
"Projek ini telah bertahan selama lapan tahun tanpa bantuan kerajaan dan saya mengakui bahawa ia bukanlah perjalanan yang mudah.
"Namun, dengan usaha gigih dan sokongan daripada komuniti, Projek Autism Cafe kini menjadi satu model kejayaan dalam membantu remaja autisme untuk berdikari dan merasai kehidupan seperti orang lain," jelasnya.
Melalui program intervensi awal dan komitmen kerajaan dalam belanjawan pendidikan, diharapkan pendidikan inklusif dan berkualiti dapat dinikmati oleh semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang.
KPM juga yakin bahawa dengan pelaksanaan program itu, mereka akan terus berusaha memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat sokongan yang sewajarnya.
Program berkenaan menandakan langkah signifikan dalam pembangunan pendidikan inklusif di Malaysia, sejajar dengan visi negara untuk memajukan sistem pendidikan yang berkualiti tinggi dan menyeluruh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram