SELEPAS dua kali perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) ditangguh akibat cuaca tidak mengizinkan, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri dekat Johor dipilih sebagai venue perlawanan.
Dua perlawanan Liga Super pada 5 Oktober dan 17 Ogos lepas yang sebelumnya berlangsung di Perak ditangguhkan akibat permukaan padang yang tidak baik susulan hujan lebat membasahi negeri berkenaan.
Seperti sudah tidak sanggup kejadian sama berulang lagi, gelanggang Harimau Selatan itu nampaknya menjadi pilihan selepas tular satu surat makluman di Facebook mengenai pertukaran venue tersebut.
BACA LAGI: Fabrizio Romano petik nama JDT, TMJ 'masuk' beri respons emoji hati merah, biru
"Sukacita dinyatakan maklumat mengenai pasukan Perak FC bagi perlawanan Liga Super 2024/2025- Perak FC melawan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 10 November 2024 (Ahad) di Stadium Sultan Ibrahim," memetik surat yang bertarikh 4 November itu.
Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pengelola liga domestik, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau dari kedua-dua pasukan mengenai pertukaran venue berkenaan.
Terdahulu, penangguhan perlawanan antara JDT dan Perak buat kali kedua mengundang pelbagai reaksi daripada daripada pelbagai pihak serta penyokong yang sudah bersusah payah hadir ke Stadium Manjung.
Ia juga mendapat respons daripada bekas Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Ariesham, yang berpendapat keputusan penundaan perlawanan itu tidak masuk akal.
Tangkap layar surat makluman mengenai pertukaran venue tersebut.
Selain itu, pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyuarakan kekesalan terhadap kualiti padang bola sepak di negara ini susulan penangguhan perlawanan melibatkan pasukannya itu.
Menurut Tunku Ismail, hampir semua padang bola sepak di negara ini masih belum berada dalam keadaan baik untuk perlawanan.
“Dah 2024. Sibuk nak bola sepak Malaysia maju tapi 90 peratus padang dalam negara masih keadaan teruk.
“Amat memalukan dengan negara-negara jiran. Negara jiran semua sudah tingkatkan padang dan infra bola sepak. Kita hanya bercakap nak berubah tetapi tiada tindakan.
“Peruntukan sudah ditawarkan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tetapi semua kelab tak terima,” ujar Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram