Kalah nasib, bintang futsal Selangor selamatkan Malaysia elak malu besar diaibkan Vietnam


  • Podium
  • Isnin, 04 Nov 2024

Syawal cemerlang menepis beberapa kali percubaan pemain Vietnam. — Facebook/FAM

RENTAK kemenangan Malaysia dalam kempen Kejuaraan Futsal Asean 2024 tidak dapat diteruskan apabila tewas kepada Vietnam dalam aksi kedua peringkat kumpulan A di Terminal 1, Nakhon Ratchasima, Thailand pada Isnin.

Malaysia yang sebelum ini berpesta gol menumbangkan Brunei dengan keputusan 11-0 pada perlawanan pertama terpaksa akur tewas 0-2 pula kepada Vietnam dalam perlawanan kedua mereka.

Skuad kendalian Rakhpol Sainetngam menurunkan Syawal Sabaruddin sebagai penjaga gol, Syahir Iqbal, Harith Naim, Saad Sani dan Tuah Eizlan sebagai pemain utama. Manakala, sembilan lagi pemain diletakkan dalam senarai simpanan.

BACA LAGI: Letak tepi teruja jumpa bekas anak murid, Pan-gon lebih gerun beraksi di SSI

BACA LAGI: Main setakat liga domestik, ke mana hilangnya bakat pemain futsal semasa kebangsaan?

Perlawanan menentang pasukan di tangga ke-34 dunia itu pada awalnya bermula dengan sengit dengan masing-masing cuba untuk meraih gol pertama namun tiada sebarang jaringan di catat pada separuh masa pertama.

Separuh babak kedua bermula dengan insiden kontroversi apabila jaringan dari pemain Vietnam, Nguyen Thinh dinafikan oleh pengadil perlawanan kerana wisel belum dibunyikan.

Pada minit ke-27, sepakan penalti diberikan kepada Vietnam setelah bola mengenai tangan pemain Malaysia iaitu Danial Dain. Hadiah tersebut disempurkan oleh tonggak Vietnam, Tu Minh Quang.

Gol kedua Vietnam diperolehi hasil daripada percubaan, Nguyen Thinh selepas ia gagal diselamatkan oleh Syawal Sabaruddin. Keputusan 0-2 kekal sehingga ke penghujung babak perlawanan.

Meskipun tewas kepada Vietnam namun pujian masih diberikan kepada barisan pemain dengan ramai penyokong futsal tanah air memberi kredit kepada penjaga gol Selangor FC, Syawal yang cemerlang menepis beberapa kali percubaan lawan.

"Jangan nak comlain sahaja. Semua tengok perlawanan ke tadi? Ada fight tapi nasib tidak menyebelahi kita. Gol pertama mereka penalti. Penjaga gol kita pun padu. Banyak percubaan tapi penjaga gol tepi," kata penyokong Malaysia, Muhammad Nasiruddin Nazri.

"Saya tengok permainan memang okay, ada fight dari pemain Malaysia," tambah penyokong futsal domestik, Mohd Haniffa Syedul Akbar.

Saingan kumpulan A selepas ini menyaksikan skuad negara akan berdepan tugas lebih sukar apabila bertemu tuan rumah, Thailand manakala Vietnam pula menentang Brunei pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram