SAINGAN Liga Super musim 2024/2025 yang sudah memasuki perlawanan ke-14 sudah melihat beberapa pemain mula menarik perhatian apabila sumbangan masing-masing cukup penting di mata penyokong.
Meskipun perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini belum tiba di penghujungnya namun prestasi cemerlang yang diberikan beberapa tonggak pasukan seolah-olah memberi jaminan kelab kesayangan akan berada di kedudukan sasaran mereka.
Antara tonggak yang menyerlah setakat ini adalah golongan pemain berusia apabila mereka telah membuktikan mampu memberi segala kudrat jika mendapat peluang bermain oleh ketua jurulatih.
BACA LAGI: 'Lama tak nampak', ketiadaan Hong Wan resahkan penyokong JDT
BACA LAGI: Sudah muncul juara Liga Korea, Pan-gon kini fokus berdepan JDT di ACL Elite
Golongan pemain berstatus otai ini mungkin tidak mendapat peluang yang banyak pada musim ini namun apabila diturunkan, ada sahaja momen diingat oleh penyokong dan sekali gus membuktikan bisa mereka di atas padang.
Oleh itu, kali ini Majoriti tiga pemain berstatus 'kuda tua' yang masih menarik perhatian penyokong domestik apabila diturunkan dalam beberapa perlawanan penting musim 2024/2025;
1) Natxo Insa
Natxo masih menjadi pilihan untuk mengemudi jentera tengah JDT. — Facebook/JDT
Pengalaman yang dimiliki pemain tengah kebangsaan, Natxo Insa di pentas Eropah bersama pasukan seperti Valencia dan Villareal masih ditagih Hector Bidoglio untuk membimbing pemain-pemain muda Harimau Selatan.
Walaupun tahun lalu Natxo mengalami kecederaan yang menyebabkan dia tidak beraksi sepanjang musim, namun kudrat pemain berusia 38 tahun itu nyata masih digunakan oleh JDT pada aksi musim ini.
Lebih mengagumkan apabila pemain warisan Malaysia-Sepanyol berkenaan diturunkan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Shanghai Port, SH Shenhua dan Gwangju FC.
Dalam ketiga-tiga perlawanan itu juga, Natxo dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM) selepas kebolehannya untuk membaca pergerakan lawan dan kemampuan mengawal bola ketika dalam situasi menyerang.
2) Muhaimin Mohamad
Nama Muhaimin diingati penyokong domestik selepas menafikan percubaan JDT pada aksi Pusingan 16 Piala FA. — Facebook/KDNFC
Jumlah perlawanan Muhaimin Mohamad dalam perlawanan Liga Super setakat ini mungkin sedikit namun penjaga gol Kelantan Darul Naim (KDN) FC itu memberi persembahan memberangsangkan setiap kali diturunkan.
Daripada 15 aksi Liga Super musim ini, pemain berusia 32 tahun berkenaan dipanggil untuk menjaga gawang ketika aksi bertemu PDRM FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Muhaimin berhasil membantu skuad Kijang Emas meraih dua kemenangan ketika bertemu PDRM FC dan Negeri Sembilan. Selain itu, ketangkasannya dalam menafikan percubaan pemain JDT pada aksi Pusingan 16 Piala FA juga masih diingati.
Walaupun KDN tewas dengan keputusan 0-4 di tangan JDT, namun anak jadi Kedah itu menyelamatkan dua kali sepakan penalti dari Harimau Selatan, pertama ketika Muhaimin menepis keluar percubaan Juan Muniz dan menyelamatkan sepakan Arif Aiman Hanapi.
3) Shahril Saari
Shahril merupakan penjaga gol kedua The Cats musim ini. — Facebook/KuchingCity
Shahril Saari merupakan penjaga gol berpengalaman yang pernah mewakili skuad Sang Kenari dan kepakarannya berhasil membantu kelab Utara tanah air itu beraksi peringkat tertinggi Asia iaitu Piala AFC.
Selepas meninggalkan Kedah dan mengucap selamat tinggal kepada KDN pada musim 2023, pemain kelahiran negeri Terengganu itu membawa haluan baharu ke Kuching City bagi saingan musim 2024/2025.
Membuktikan ketangkasannya masih berbisa, pemain berusia 34 tahun itu membantu The Cats menghuni kedudukan kelima dengan meraih empat kemenangan, enam seri dan selebihnya tewas dalam 13 perlawanan Liga Super.
Meskipun tidak bertugas sebagai penjaga gol utama namun pemain berketinggian 1.78 meter berkenaan menjadi memberi perlawanan sukar dilupakan oleh penyokong seperti ketika tidak membiarkan JDT berpesta gol dalam kunjungan mereka ke Iskandar Puteri.
Dalam aksi itu, Shahril hanya dibolosi dua gol dan menyaksikan Harimau Selatan sekadar mencatat kemenangan 2-1 di laman sendiri.
Malah, daripada empat kemenangan diraih skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, Shahril menjadi penjaga gawang untuk tiga perlawanan menentang PDRM FC, Perak FC dan Kelantan Darul Naim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram