Bertukar venue ke SSI, fans Perak beri pantun khas tanda kecewa


  • Podium
  • Selasa, 05 Nov 2024

Sebelum ini Stadium Ipoh, Perak sunyi selepas penyokong memilih untuk boikot perlawanan The Bos Gaurus susulan prestasi hambar pada musim lalu.

PENYOKONG Perak FC jelas kecewa dengan keputusan pihak pengurusan selepas memilih Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Bahru sebagai venue perlawanan tertunda Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada Ahad.

Luahan kekecewaan penyokong Perak itu jelas kelihatan di setiap platform media sosial pasukan The Bos Gaurus yang mahu melihat aksi tertunda itu diadakan di Stadium Manjung.

Sebelum ini, aksi membabitkan kedua-dua pasukan yang sepatutnya diadakan di Stadium Perak pada Ogos lalu terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dan keadaan padang yang tidak sesuai.

BACA LAGI: [VIDEO] Feroz Baharudin jadi igauan, Jese Rodriguez harapan magis fans JDT lawan Kim Pan-gon

BACA LAGI: JDT baik hati beri venue, Perak akan sediakan bas percuma untuk penyokong ke SSI — CEO

Situasi sama berlaku lagi pada bulan lalu dan ia memaksa perlawanan antara Perak dan JDT ditangguhkan buat kali kedua.

Bagaimanapun, aksi yang sepatutnya diadakan di Stadium Manjung pada Ahad ini selepas Stadium Perak menjalani proses penukaran padang tidak dapat dilangsungkan di Manjung atas faktor keselamatan yang agak longgar di venue terbabit.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan pada Selasa, memaklumkan Perak telah diminta untuk menamakan venue alternatif, berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.

Stadium Manjung

Perlawanan tertunda Perak-JDT tidak dapat dilangsungkan di Stadium Manjung atas faktor keselamatan yang agak longgar di venue terbabit.

Keputusan MFL dan Perak itu disulami dengan pantun khas tanda kekecewaan yang amat dalam dirasai oleh peminat setia The Bos Gaurus.

Menerusi pantun Zulfikar Mohd Khawari di dalam ruangan komen Facebook Perak FC jelas menyatakan selepas ini pihak pengurusan tidak perlu pelik jika peminat mula mengundurkan diri susulan keputusan yang dipilih mereka.

"Payang retak tali bersimpul,

"Kendi lokan airnya tumpah,

"Hidup tidak kerana kaul,

"Mati bukan kerana sumpah.

"Kemana pula menghilangnya pergi,

"Belang tarung tiga warna,

"Usah ditanya di mana kami,

"Andai di layan sebegini rupa," tulisnya.

Selepas keputusan yang dikeluarkan oleh MFL itu, pihak pengurusan Perak meluahkan rasa syukur mereka terhadap JDT atas pelawaan untuk menggunakan SSI sebagai venue perlawanan Liga Super pada Ahad ini.

Ucapan terima kasih itu dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, sambil berkongsi bahawa lampu limpah di Stadium Manjung tidak melepasi piawaian minimum serta berisko tinggi jika berlaku hujan lebat menjadi faktor venue terpaksa diubah.

"Pertukaran venue ini melibatkan liputan televisyen. Lampu limpah tak mencukupi dengan voltage yang ditetapkan. Kalau televisyen nak buat liputan, perlukan voltage yang lebih tinggi. Jadi itu satu dah jadi masalah.

"Sebab kedua mengenai keselamatan. Jika lihat keselamatan Stadium Manjung ini, ia agak terbuka. Risau ada pergaduhan, agak sukar untuk pihak polis bendung dan kawal. Kalau dekat Stadium Ipoh, mudah untuk disekat.

"Jadi atas arah faktor-faktor ini, kita semua berpendapat untuk menukar venue dan Johor juga telah bermurah hati untuk menawarkan stadium mereka.

"Untuk makluman, kami (pihak pengurusan) dah pergi tengok semua pilihan stadium di Perak, tidak ada yang menepati dengan piawaian MFL. Jadi, maksudnya memang SSI tinggal jadi pilihan," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Abdul Azim juga berkongsi bahawa akan menyediakan bas percuma kepada penyokong Perak FC untuk memudahkan perjalanan pergi dan pulang mereka ke Iskandar Puteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram