KUALA Lumpur Thunder jelas begitu sukar untuk ditumpaskan oleh mana-mana pesaing dalam Sepak Takraw League (STL) musim ini apabila menyapu bersih kesemua gelaran termasuk di GP Johor.
Gelaran di GP Johor berjaya dirangkul apabila mereka menewaskan pencabar iaitu Negeri Sembilan Antlers dalam pertarungan tiga set.
KL Thunder menewaskan NS Antlers 17-15, 10-15, 15-12 untuk memastikan penguasaan mutlak STL menjadi milik mereka.
BACA LAGI: Cipta kejutan kalahkan KL Thunder, persembahan tekong Siam buat fans Perak Bison puji melambung
BACA LAGI: Sedia hadapi cabaran KL Thunder, pengurus Johor Tigris dedah ada 'senjata' rahsia
Selepas perlawanan, pemain KL Thunder, Amirul Zazwan mengakui yang aksi bertemu NS Antlers merupakan lawan paling sukar dihadapi mereka dalam kesemua perlawanan akhir.
Sebagai salah satu daripada dua pasukan yang berjaya menjinakkan KL Thunder musim ini, NS Antlers memberikan cabaran bermakna dan itu dapat dilihat menerusi keputusan perlawanan.
"Pada saya, kedua-dua pasukan menunjukkan aksi yang terbaik untuk perlawanan akhir ini," kata Amirul.
Walaupun tewas, tetapi pemain NS Antlers, Hafizul Hayazi mengakui pasukannya memberikan persembahan terbaik untuk menggugat penguasaan KL Thunder.
"Ia adalah salah satu daripada persembahan terbaik kami. Kami juga pertama kali masuk ke perlawanan akhir jadi perasaan itu rasa lain macam sikit," ujarnya.
Berakhirnya GP Johor menyaksikan KL Thunder sebagai juara keseluruhan STL 2024 dengan mengutip 160 mata.
Kedua-dua finalis GP Johor itu akan bersama-sama Selangor Pistons dan Perak Bison untuk mewakili Malaysia dalam STL Champions Cup yang akan diadakan pada pertengahan November.
Dalam pada itu, Selangor Pistons pula meraih tempat ketiga GP Johor selepas mengalahkan Perak Bison. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram