[VIDEO] Farhan Adam akui kualiti Syahir Rosdi punca Johor Tigris terkandas di suku akhir GP Johor


  • Podium
  • Sabtu, 02 Nov 2024

Keunggulan Syahir Rosdi membolehkan KL Thunders mara ke separuh akhir GP Johor bagi STL musim ini. — Facebook/STL

JOHOR Tigris gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila tersingkir di peringkat suku akhir Liga Sepak Takraw (STL) bagi Grand Prix (GP) Johor kepada Kuala Lumpur (KL) Thunders.

Set pertama bagi perlawanan itu bermula dengan cukup sengit, namun kemenangan milik KL Thunders yang meraih keputusan 15-13 bagi memberikan kelebihan buat mereka.

Kebangkitan cuba dilakar pada set kedua, namun pasukan pelawat yang memenangi kesemua empat edisi GP terdahulu sememangnya sukar dicabar selepas mereka meraih kemenangan 15-9.

BACA LAGI: Kelab Thailand, India antara wakil antarabangsa warnai STL Champions Cup

BACA LAGI: [VIDEO] KL Thunder ada 'resipi' rahsia, mahu kekal juara bertahan STL 2024 — Syahir Rosdi

Kekalahan itu sudah tentu sukar untuk ditelan Johor Tigris dan penyokongnya meskipun tahu KL Thunders merupakan pasukan serba lengkap apabila hanya tewas beberapa kali sahaja musim ini.

Hal tersebut turut diakui tonggak pasukan tuan rumah, Farhan Adam yang beraksi sebagai apit kiri dengan menegaskan pihak lawan cukup berkualiti, terutamanya dengan kehadiran tekong, Syahir Rosdi.

"Pada awalnya, kami berasakan kami boleh pergi ke pusingan seterusnya, tetapi pada penghujung permainan, nampak pasukan KL Thunders sudah mendapat rentak. Semua juga tahu (kualiti) Syahir Rosdi, kami akui kami tidak dapat atasi pada penghujung aksi set pertama," katanya.

Meskipun kedua-dua pemain itu sering berentap dalam skuad kebangsaan, Farhan masih perlu mengakui kebolehan tekong lawan itu yang sering membuat tekong berbahaya.

Kemaraan KL Thunders ke peringkat separuh akhir GP Johor STL 2024/25 itu sekali gus menyaksikan mereka akan bertemu Selangor Pistons yang juga merupakan sebuah lagi pasukan Lembah Klang.

Sebuah lagi pertembungan akan menyaksikan Perak Bison yang menewaskan ATM Guardians berdepan Negeri Sembilan Antlers yang layak selepas menepikan cabaran Bomba Fighters. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram