BUAT pertama kali dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) Premier tahun ini menyaksikan juara musim lepas iaitu Perak Bison tidak berhasil melangkah ke pusingan suku akhir.
Dalam perlawanan kedua edisi Grand Prix (GP) Johor itu menyaksikan Perak Bison ditundukkan oleh Terengganu Turtles dengan keputusan 1-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Arena Larkin, Johor Bahru, Johor pada Rabu.
Pengendali Perak Bison, Mohd Dzafril Mohd Anuar meletakkan trio berbisanya iaitu Kritsada Sungvung selaku tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri).
BACA LAGI: Kelab Thailand, India antara wakil antarabangsa warnai STL Champions Cup
BACA LAGI: [VIDEO] KL Thunder ada 'resipi' rahsia, mahu kekal juara bertahan STL 2024 — Syahir Rosdi
Bagaimanapun, trio tersebut tidak berhasil mengenepikan cabaran Terengganu yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong), Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi (apit kanan) serta apit kiri, Muhammad Zulhusni Basri.
Set pertama menyaksikan Khairul Aman yang baru pulih dari masalah kesihatannya tampil dengan cukup baik dalam membantu pasukan kendalian Mohd Faisal Muhammad untuk mendapat mata dengan kemenangan 15-13.
Tersentak dengan kemenangan Terengganu, Perak Bison nyata tidak memberi peluang buat lawannya itu untuk meraih mata apabila mendominasi perlawanan dengan merekodkan kemenangan 15-8 pada set kedua.
Pada set penentuan, perlawanan yang penuh kejutan dan debaran itu memihak kepada skuad Terengganu Turtles apabila mereka bangkit menewaskan Perak Bison dengan keputusan 15-13.
Setiap perlawanan yang menarik pasti tidak lari daripada isu mutu pengadilan dan perlawanan sengit melibatkan dua pasukan itu juga mendapat reaksi mengenai hal itu daripada penyokong.
"Harap penganjur dapat menilai semula mutu pengadilan. Banyak sangat keputusan yang kontroversi," kata penyokong Terengganu, Mohd Syazwan Naim.
"Perlawanan paling menarik tapi pengadil banyak kena baiki," komen peminat sukan takraw, Akashah Isman.
"Perlawanan terpadu abad ini. Dah macam final, kalau dah tertulis rezki Terengganu nak menang, buat apa pun memang akan menang. Pengadil yang buat perlawanan ini tidak menarik," kata penyokong, Emi Emi.
Kekalahan tersebut menyukarkan Perak Bison untuk melangkah ke pusingan kalah mati apabila dijadualkan bertemu juara bertahan, Kuala Lumpur Thunder dalam Kumpulan C pada Khamis.
Meskipun peluang ke pusingan separuh akhir tipis untuk Perak namun kedudukan mereka yang berada dalam kelompok empat teratas melayakkan mereka untuk bertanding ke STL Champions Cup bagi musim 2024 yang diadakan pada November.
Empat kelab jemputan iaitu Thai Airforce Takraw Club (Thailand), Garuda Sepak Takraw (Indonesia), India Fighters (India) dan MGPC Singapore (Singapura) bakal berentap merebut kejuaraan bersama empat lagi wakil dari STL.
Bagi edisi kali ini, ia akan diadakan di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, Selangor bermula 13 hingga 17 November depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram