KELANTAN Darul Naim (KDN) FC didakwa bertindak secara tidak profesional apabila gagal melunaskan tunggakan gaji dan mengabaikan pemain import mereka dari Korea Selatan.
Menurut ejen kepada beberapa import Korea Selatan itu, Myeongho Jeong, beberapa pemain tersebut kini hidup di negeri itu seperti pendatang asing tanpa izin selepas pihak pengurusan dikatakan dengan sengaja tidak mahu memperbaharui visa pemain yang kini sudah tamat hampir enam bulan.
Situasi tersebut sekali gus menyebabkan dia terpaksa memohon kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk campur tangan untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.
BACA LAGI: Hilang sentuhan 'otai', Penang Black Panther antara 3 pasukan gagal ulangi kejayaan di GP Johor
Jeong (kanan) bersama-sama beberapa import Kelantan Darul Naim.
"Kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia, sila bantu pemain-pemain. Mereka kini tinggal di Malaysia sebagai pendatang tanpa izin kerana tidak dapat memperoleh visa selama enam bulan.
"Oleh itu, mereka tidak dapat menaiki penerbangan untuk perlawanan hujung minggu ini.
"FAM dan media perlu membantu pemain-pemain ini. Pasukan tersebut terpaksa menipu setiap hari dan tidak diberikan visa selama enam bulan," katanya.
Menurut Jeong, pihaknya sedaya upaya mencari jalan penyelesaian namun KDN FC sering mengelak seterusnya menabur janji palsu sehingga urusan itu yang sepatutnya boleh diselesaikan lebih namun tertangguh dalam tempoh yang agak lama.
"Saya dan pemain termasuk jurulatih sudah bersabar sangat lama dan perkara ini membuatkan kami sangat marah. Malah kami seperti dipergunakan oleh pasukan.
"Pemilik kelab sentiasa mengelak, tidak pernah jawab telefon dan sering menipu kakitangan di dalam pasukan ini. Adakah ini taraf Liga Super Malaysia?.
"Pasukan sampah seperti ini sentiasa ada dalam liga. Saya belajar banyak perkara dalam tiga tahun ini dan tahu kenapa bola sepak Malaysia tidak boleh berkembang dengan baik," katanya.
Tambahnya lagi, dia akan mengambil keputusan untuk melaporkan perkara tersebut kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika kemelut ini tidak diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Jika perkara tersebut tidak diselesaikan menjelang minggu depan, saya akan membuat aduan kepada FIFA. Ini adalah amaran terakhir saya," ujarnya.
Tiada kenyataan dikeluarkan MFL atau FAM setakat ini.
Sebagai rekod, KDN FC menggunakan empat pemain import dari Korea iaitu Kim Ri-gwan,Bae Kyung-Hwan, Goo Ah-woi dan Jung Byung-ju dan ketua jurulatih, Park Jae Hong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram