SPRM sudah mula siasat kerugian RM43.9 juta pelaburan FashionValet


  • Primer
  • Sabtu, 02 Nov 2024

Khazanah Nasional memaklumkan, pihaknya melabur sebanyak RM27 juta untuk memperoleh sembilan peratus pegangan dalam FashionValet.

PENYIASAT Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor sudah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn Bhd.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu penting memandangkan perkara itu melibatkan isu dana dan kepentingan awam.

"Saya telah mengarahkan para pegawai saya untuk memulakan siasatan kerana perkara ini melibatkan isu dana dan kepentingan awam.

"Jadi siasatan perlu dilakukan sama ada terdapat unsur-unsur jenayah atau tidak atau hal-hal lain berkaitan isu tatakelola," katanya.

BACA LAGI: Khazanah, PNB beri penjelasan penjualan saham FashionValet

BACA LAGI: Syarikat jadi punca kerugian RM43.9 juta, Vivy Yusof dan Fadza mohon maaf, undur diri daripada FashionValet

Vivy

FashionValet diasaskan oleh Vivy (kiri) dan suaminya, Fadzaruddin.

Kementerian Kewangan sebelum ini melaporkan bahawa Khazanah dan PNB meraih RM3.1 juta daripada penjualan saham FashionValet kepada NXBT Partners pada 2023.

Walau bagaimanapun, jumlah ini jauh lebih rendah berbanding pelaburan awal mereka sebanyak RM47 juta pada 2018, yang menunjukkan kerugian ketara dalam pelaburan tersebut.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta penjelasan daripada Khazanah, PNB, dan FashionValet mengenai kerugian pelaburan RM43.9 juta yang dialami oleh Khazanah dan PNB.

Sebagai respons, ketiga-tiga pihak telah mengeluarkan kenyataan yang mana Khazanah menjelaskan bahawa penjualan kepentingannya dalam FashionValet selepas pelaburan RM27 juta pada 2018 adalah langkah untuk memajukan syarikat e-dagang fesyen tempatan tersebut.

Dalam satu kenyataan, Khazanah mejelaskan, penjualan itu bagi mengalihkan pemilikan kepada pihak baharu yang berupaya memacu syarikat ke arah trajektori pertumbuhan sejajar dengan tempoh pegangan pelaburan yang telah mencapai matlamat.

Sementara itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam kenyataan pada Jumaat turut menegaskan, pelaburan dibuat menggunakan dana proprietari PNB dan bukan dana amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dilanggan oleh orang awam.

“Walaupun kesal dengan kerugian yang dialami sebanyak RM18.7 juta selepas menerima hasil jualan sebanyak RM1.3 juta tetapi ini harus dilihat dalam konteks aset pelaburan bernilai RM337 bilion yang diuruskan oleh PNB dan RM16.4 bilion dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian pada TK23,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar memohon maaf dan akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd.

Menerusi kenyataan bersama pada Jumaat, keputusan itu dibuat berikutan isu terkini yang melibatkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat berkenaan.

Katanya, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan konflik ketika ini menjejaskan syarikat yang sedang dalam proses pemulihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram