SELANGOR FC bukan tandingan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila pasukan dengan jolokan Gergasi Meranh berkenaan tidak berhasil melunaskan dendam kekalahan Piala FA pada Ogos lepas.
JDT yang berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor membuktikan keunggulan mereka di pentas domestik selepas mudah menundukkan pasukan tuan rumah dengan keputusan 3-0 pada Ahad.
Dua gol dari penyerang utama, Bergson da Silva dan satu daripada Romel Morales menyaksikan tiga mata penuh dipungut skuad Harimau Selatan untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di persada carta.
BACA LAGI: 'Syabas JDT', TMJ luah rasa bangga lepas Harimau Selatan benam Selangor
BACA LAGI: 'Buat macam Terengganu', TMJ cadang pakai rumput Bermuda elak padang berlumpur
Tidak dinafikan kekalahan di tangan JDT seperti sudah boleh diramal oleh penyokong Selangor namun satu perkara positif yang mendapat pujian 'pemain ke-12' adalah keberanian Nidzam Jamil menurunkan pemain muda mereka.
Dalam perlawanan kedua menentang Harimau Selatan pada musim ini, Nidzam menyenaraikan enam pemain muda tempatan seperti Quentin Cheng, Nooa Laine, Zikri Khalili, Shahrul Nazeem, Izwan Yuslan dan Azim Al-Amin.
"Dengan menurunkan pasukan B Selangor di babak pertama pun Selangor masih boleh fight JDT, Hanya stop ball dan kesilapan kecil ofsaid tidak menjadi sahaja punca bolos. Saya suka dengan idealogi NJ (Nidzam) ketengahkan pemain muda. Mohon dikekalkan NJ," kata penyokong Selangor, Mohd Izwan Zulkifli Izzudin.
"Jangan sedih dengan keputusan malam ini. Permainan malam ini bagus jika dibandingkan dengan Piala FA. Sementara kita menyerang berapa banyak foul JDT dan kad mereka dapat. Harap NJ dan pengurusan kental diri dengan suara-suara sumbang," bagi penyokong Gergasi Merah, Muhammad Hanis Nasuha.
"Tahniah pemain-pemain muda Selangor. Teruskan meningkatkan prestasi. Cuma, lain kali kena buat persiapan mental bila lawan JDT supaya tiada perasaan terlalu menghormati mereka," pendapat penyokong Gergasi Merah, Nzrul Rfan.
Usai kekalahan di tangan JDT, Selangor menghuni kedudukan kedua dengan 26 mata. — Facebook/SelangorFC
Keputusan Nidzam menurunkan pemain muda sebagai kesebelasan itu pasti berpunca dengan isu kecederaan dan masalah prestasi yang dialami pemain utama seperti Noor Al-Rawabdeh, Alvin Fortes dan Safuwan Baharudin.
Selain itu, pengendali berusia 44 tahun itu juga sebenarnya ingin memberi peluang untuk pemain muda mendapat pengalaman menentang pasukan elit seperti JDT bagi menambah baik kualiti mereka.
Selepas ini, Gergasi Merah akan berdepan Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super pada 2 November ini sebelum berdepan Jeonbuk di Korea Selatan bagi aksi Liga Juara-Juara AFC 2(ACL2) empat hari selepas itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram