KEPUTUSAN Nidzam Jamil untuk melepaskan jawatannya masih menimbulkan persoalan memandangkan pasukan bimbingannya itu berada dalam landasan baik ketika ini.
Prestasi cemerlang di peringkat domestik dapat disaksikan dengan kelab Lembah Klang itu berada di kedudukan kedua Liga Super selain mara ke perlawanan akhir Piala FA.
Tidak cukup dengan itu, di pentas Asia pula, skuad Gergasi Merah masih kebal dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two dengan tujuh mata dikutip, termasuk hasil kemenangan ke atas Jeonbuk Hyundai Motors.
BACA LAGI: Nidzam Jamil letak jawatan, DNA Korea jadi pilihan Selangor FC?
BACA LAGI: Kecewa tewas kepada JDT, namun Nidzam lega duo tonggak kembali kuatkan Selangor bertemu Kedah
Nidzam membawa skuad Gergasi Merah dengan cukup baik musim ini. — Facebook/Selangor FC
Jadi, keputusan Nidzam untuk mengundur diri masih sukar diterima sehingga timbulnya spekulasi mengatakannya dijadikan 'kambing hitam' oleh pihak pengurusan.
Namun, sesetengah peminat setia Selangor FC berasakan pengundurannya dibuat kerana dia tidak dapat memenuhi kehendak ramai yang mahu menyaksikan pasukan itu memberikan tentangan lebih hebat di atas padang.
Seorang pengguna Facebook, Shahrul Nizam merupakan antara yang berpandangan sedemikian sambil sempat menjelaskan status megah Gergasi Merah terlalu berat untuk dipikulnya.
"Terima kasih Nidzam atas khidmat awak selama ini, saya amat menghargainya. Keputusan awak untuk letak jawatan juga adalah keputusan yang terbaik kerana awak berbuat demikian dalam keadaan tidaklah begitu baik, namun tidaklah terlalu teruk.
"Jadi, nama awak pun dipandang baik juga. Awak bukan tidak bagus, cuma tahap jurulatih awak belum sampai tahap untuk menjaga kelab berprestij sebegini," tulisnya.
Komen penyokong berhubung keputusan Nidzam untuk menarik diri.
Meskipun dapat mencatatkan keputusan memberangsangkan, gaya permainan pasif yang diterapkan Nidzam seperti sukar diterima penyokong, lebih-lebih lagi selepas dimalukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA.
Taktikal sedemikian menyaksikan skuad Gergasi Merah mencicirkan mata ketika berdepan Muangthong United dalam kempen ACL Two dan PDRM FC dalam saingan Liga Super.
Keputusan kurang memberangsangkan itu membuatkan Nidzam menjadi mangsa orang ramai di media sosial yang mendesak perubahan segera dapat dilakukan demi prestasi pasukan.
Shahrul Nizam yang juga seorang jurulatih pasukan amatur turut meletakkan harapan pihak pengurusan supaya tidak mensia-siakan usaha penyokong selama ini.
Abdi Hassan akan mengendalikan skuad Gergasi Merah buat sementara waktu. — Facebook/Selangor FC
"Jangan lupa, Selangor FC yang ada sekarang ini wujud kerana penyokong yang sentiasa memberi sokongan walau apa jua keadaan sekalipun. Jadi, jangan sia-siakan penyokong Selangor FC.
"Cuba untuk hargai penyokong juga. Maka, dengan keputusan peletakan jawatan Nidzam ini juga, saya faham dia sememangnya menghargai penyokong. Terima kasih Nidzam Jamil," katanya lagi.
Skuad Gergasi Merah kini dikendalikan sementara Abdi Hassan yang sebelum ini merupakan pembantu jurulatih dengan pihak atasan seperti sedang sibuk mencari pengganti berkaliber.
Meskipun masih belum memberikan sebarang perkembangan mengenainya, terdapat ura-ura mengatakan mereka akan memilih pengendali dari Belanda atau Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram