KEDAH Darul Aman (KDA) FC sekali lagi mengalami kekalahan dalam Liga Super musim ini ketika mereka bertandang ke Stadium Likas, Sabah pada Selasa.
Keputusan mengecewakan berkenaan menyaksikan skuad Sang Kenari kekal berada di tangga ke-10 dengan hanya 13 mata dikutip selepas mengharungi 13 perlawanan.
Salah seorang pemain yang pastinya kecewa akan kekalahan itu ialah pemain pertahanan sayap, Rizal Ghazali memandangkan kepulangannya ke Sabah gagal memberikan kenangan manis.
BACA LAGI: 'Amanah harus dijalankan', Rizal Ghazali tak putus harap, tunggakan 7 bulan gaji 'settle'
BACA LAGI: Dilabel 'game changer' Sabah, kemasukan anak jati Alor Setar ranapkan impian Kedah bawa pulang mata
Rizal Ghazali hanya berada di atas padang untuk kira-kira 60 minit. — Facebook/KDA FC
Dia yang beraksi bersama skuad Sang Badak selama dua musim bermula 2022 pasti mengharapkan pengalamannya di Negeri di Bawah Bayu itu dapat memastikan Kedah tidak pulang dengan tangan kosong.
Namun, kisah berbeza berlaku apabila pada awal permainan, bekas bek negara itu melakukan kekasaran ke atas Daniel Ting yang kemudian menyaksikan penalti diberikan kepada tuan rumah.
Kesilapan tersebut sedikit sebanyak mengganggu fokusnya untuk terus beraksi di venue yang sepatutnya sinonim dengannya itu sehingga mendesak pengendali Kedah, Nafuzi Zain mengeluarkannya pada minit ke-61 permainan.
Pemain berusia 32 tahun itu pasti berasa kecewa, lebih-lebih lagi selepas benteng pasukannya dibolosi sebanyak lima kali yang turut menyaksikan mereka tewas buat kali kelima dalam Liga Super musim ini.
Tetapi, meskipun diselubungi perasaan berkenaan, Rizal atau juga mesra disapa sebagai Jai sempat meluangkan masa bersama penyokong Sabah FC juga jelas merindui kelibatnya.
Dalam video dimuat naik di media sosial, tonggak Kedah itu kelihatan bertemu peminat skuad Sang Badak selepas perlawanan tamat dengan dia sempat menyapa mereka.
Menariknya, ketika itu, Rizal kelihatan menyarung jersi Sabah FC dipercayai selepas menukarnya dengan pemain lawan, namun tidak dapat dipastikan pemiliknya.
Walaupun hanya menghabiskan masa dua musim di kelab Borneo tanah air tersebut, Rizal cukup disayangi melihat kepada sumbangannya dari segi pertahanan.
Selain itu, karakternya yang menghiburkan bersama rakan sepasukan dan pengendali, Datuk Ong Kim Swee menjadikannya figura sukar dilupakan dalam kalangan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram