Terima pelaburan bernilai RM219 bilion, masa depan KDA FC makin terjamin hasil sentuhan Dubai di tangan ahli perniagaan Sabah


  • Podium
  • Selasa, 29 Okt 2024

Azizul (kanan) serius dalam misi mendapatkan Kedah.

KEWANGAN Kedah Darul Aman (KDA) FC makin terjamin selepas ada sebuah syarikat konglomerat terkemuka tanah air menawarkan diri untuk mengambil alih pengurusan kelab tersebut.

DSAT Group Sdn Bhd mengatakan hasrat pada Isnin untuk mengambil alih Kedah daripada pemilikan Tan Sri Dr Daud Bakar sekali gus menawarkan jalan keluar kepada kemelut masalah Sang Kenari.

Apa yang lebih menguntungkan buat pasukan Sang Kenari apabila DSAT Group didakwa akan menerima pelaburan bernilai 50 billion USD (RM219 bilion) daripada syarikat berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

BACA LAGI: Milos macam belajar sesuatu, tapi masih tak cukup bantu Kedah benam PDRM

BACA LAGI: 'Tertarik dengan sikap Tan Sri', Kedah boleh tersenyum, terima RM300,000 selesaikan kemelut gaji

Perkembangan tersebut dikongsikan oleh Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek di Facebook peribadinya dengan dia memuat naik video kunjungannya ke Dubai pada Julai 2024.

Dalam hantaran berkenaan, Azizul juga memaklumkan bahawa syarikat konglomerat di Dubai itu didakwa milik Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan Mohammed Rashid al Maktoum.

Kerjasama yang dijalankan antara DSAT Group dan syarikat antarabangsa itu jelas memberi sinar bahar kepada kewangan Kedah dengan ramai penyokong juga optimis isu tunggakan gaji Sang Kenari akan pulih secepatnya.

WhatsApp Image 2024-10-29 at 11.36.02

Salah satu gambar yang dikongsikan Azizul sewaktu kunjung ke Dubai pada Julai lepas.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan ahli perniagaan berasal dari Tawau, Sabah itu sudah bertemu Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Radhi Mat Din dan merancang bertemu Daud dalam pertemuan seterusnya.

"Dengan perancangan dan masalah yang telah dihadapi oleh KDA FC kami di dalam DSAT Group bersedia untuk bekerjasama memastikan kelab bolasepak KDA FC ini dapat berfungsi dengan baik dan perancangan kita akan terus mengukuhkan KDA FC sebagai persatuan ataupun kelab bola sepak terunggul di Kedah dan memastikan masalah yang dihadapi hari ini tidak akan berulang.

"Diharapkan dengan penawaran ini kami menerima maklum balas yang baik dan Insya-ALLAh akan bersedia untuk menggalas tanggungjawab demi sukan ataupun bola sepak Kedah yang lebih baik," katanya memetik laporan Radio Televisyen Malaysia (RTM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram