[VIDEO] Menang besar bertemu Sang Kenari tapi fans mahu Kim Swee rehatkan bintang muda The Rhinos


  • Podium
  • Rabu, 30 Okt 2024

Barisan pemain Sabah FC meraikan kemenangan selepas menewaskan Sang Kenari di laman sendiri pada Selasa. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC berjaya mengekalkan rentak kemenangan selepas membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-2 pada aksi Liga Super 2024 di Stadium Likas, Sabah pada Selasa.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh import Indonesia, Saddil Ramdani.

Begitu pun, tuan rumah dikecewakan pada masa tambahan separuh masa pertama apabila KDA FC menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Jose Cleylton sebelum wisel waktu rehat dibunyikan pengadil.

BACA LAGI: Selangor tak pandang jurang besar Liga Super 'standing' JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Pengadil silap tiup wisel, aksi India-Nepal tertangguh 70 minit

Bersambung babak kedua, serangan awal Sang Badak dimanfaatkan penyerang importnya, Joao Pedro untuk jaringan kedua buat tuan rumah pada minit ke-48.

Namun, Sang Kenari sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-62 menerusi jaringan Milos Gordic, namun kealpaan barisan pertahanan KDA FC memberi ruang kepada Joao Pedro menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-67 untuk kedudukan 3-2.

Enggan mengecewakan penyokong yang hadir, Kumaahran Sathasivam dan Gary Steven Robbat melengkapkan kemenangan Sabah FC masing-masing pada minit ke-84 dan minit ke-87, dengan kedudukan muktamad 5-2.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan besar Sabah di laman sendiri, ramai penyokong mula mempersoalkan prestasi pemain muda The Rhinos, Azhad Harraz Arman.

Meskipun sering diberi kepercayaan beraksi bersama skuad utama namun pemain berketinggian 1.71 meter itu dilihat kurang memberi impak di barisan serangan.

Dalam pada itu, ramai penyokong menyeru agar Kim Swee memberi peluang kepada pemain lain untuk mengisi posisi berkenaan.

"Azhad Harraz itu lebih baik main Piala MFL saja, suruh dia improve dulu baru main skuad senior, cepat 'pancit', lari-lari tiada tujuan, kena challenge sikit-sikit jatuh, betul-betul tiada fitness," kata HSacariaz Yong HandzBizzy.

"Dah macam main petang pula Azhad Harraz ni, tahan bola pun melantun, standard lokal main kali ini, mana yang terpaling lokal bilang itu, kalau semua lokal main kena belasahlah Sabah FC jawabnya," kata Zhack Kie.

"Tak boleh pakai Azhad untuk masa sekarang, pemain lain on form tapi dia tidak, mungkin Kim Swee perlu rehatkan dia seketika sebab sikit-sikit jatuh, lari tak ketentuan arah," kata Lan Peace.

Sabah FC yang kini berada di tangga ketiga berjaya mengutip 23 mata dan dijadual akan bertemu Kelantan Darul Naim FC di Stadium Likas pada 3 November depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram