Demi kesihatan, Ng Tze Yong sanggup lepaskan peluang layak ke Sukan Olimpik


  • Podium
  • Ahad, 25 Feb 2024

Peluang Ng Tze Yong ke Sukan Olimpik 2024 semakin tipis. — THE STAR/Gleen Guan

PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dilaporkan bersedia untuk melupakan peluangnya untuk ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Hal ini kerana, kecederaan belakang yang dialami pemain tersebut dilihat semakin teruk dan ia menjejaskan peluang Tze Yong untuk terus beraksi pada keupayaan sebenar.

Sebelum ini, Tze Yong terpaksa disisihkan daripada skuad Malaysia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang menyaksikan pemain tersebut terlepas aksi penting di separuh akhir dan akhir.

Kini, pemain berasal dari Johor itu terpaksa menjalani pembedahan kerana cadangan awal untuk mengambil suntikan tahan sakit seolah-olah tidak memberikan kesan kepadanya.

"Kami cuba untuk berkompromi dengan membenarkan dia menjalani pembedahan kecil merawat kecederaan belakangnya.

"Susah untuk katakan kerana doktor kata yang Tze Yong boleh pulih selepas mengambil suntikan tetapi ikhtiar itu tidak membuahkan hasil. Menurut doktor, dia akan pulih dalam masa dua ke tiga minggu (jika lakukan pembedahan)," ujar jurulatih perseorangan negara, Hendrawan.

BACA LAGI: [VIDEO] Gol lipat Safee Sali di Larkin buka jalan JDT julang kejuaraan Asia

Malaysia's NG Tze Yong makes a return against Canada's Brian YANG during the Malaysian Masters 2022 at Axiata Arena in Bukit Jalil, July 6, 2022. — GLENN GUAN/The Star

Ng Tze Yong tidak diturunkan pada perlawanan akhir BATC — THE STAR/Gleen Guan

BACA LAGI: Kapten Kedah bakal ikut SD TFC ‘u-turn’ ke Pantai Timur?

Tambah Hendrawan, keputusan itu diambil kerana mengambil kira faktor kesihatan Tze Yong kerana kecederaan tersebut sering datang dan pergi serta menganggu pemain tersebut lebih daripada sebulan.

Keputusan yang diambil ini sedikit sebanyak telah mengecilkan impiannya untuk mengiringi Lee Zii Jia sebagai satu daripada dua pemain perseorangan negara di Paris kelak.

Namun begitu, peluang masih terbuka untuk Tze Yong. Seandainya dia dapat pulih mengikut jadual, Tze Yong masih sempat menyertai Spain Masters pada 26 hingga 31 Mac dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada 9 hingga 14 April.

Untuk rekod, dua kejohanan tersebut merupakan pertandingan terakhir dalam fasa kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Jika Tze Yong boleh pulih daripada pembedahan dengan segera dan dapat turun ke latihan penuh, kami akan usaha sebaik mungkin untuk buatkan dia layak.

"Dia masih muda dan tiada guna untuk paksa dia main kalau dia tak mampu berikan 100 peratus dalam latihan. Fokus kami sekarang adalah untuk pastikan dia kembali pulih," ujar Hendrawan. — THE STAR/R. Kirubashini

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram