Rashid Sidek anggap ada hikmah buat Tze Yong lepas tarik diri Sukan Olimpik, Piala Thomas


  • Podium
  • Ahad, 31 Mac 2024

Kecederaan belakang Tze Yong memusnahkan impiannya untuk ke Sukan Olimpik 2024. — Agensi

IMPIAN pemain badminton perseorangan negara, Ng Tze Yong untuk mencipta sejarah nyata musnah apabila namanya tidak akan mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik, Paris 2024 serta Piala Thomas.

Peluang untuk mewakili negara dalam dua kejohanan utama sambil memburu kejayaan dalam karier tidak dapat dilaksanakan oleh kerana kecederaan belakang yang dialami pemain tersebut.

Kecederaan belakang yang dialami oleh Tze Yong nyata menjejaskan perkembangan karier pemain tersebut dan itu kelihatan apabila dia tidak dapat meneruskan cabaran negara ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).

Menurut legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, keputusan untuk menyisihkan Tze Yong daripada dua kejohanan utama dunia itu adalah demi kelangsungan kariernya.

Keputusan yang diambil itu mungkin kejam dan sukar diterima oleh Tze Yong, tetapi sudah pasti ada hikmah di sebalik kejadian.

"Semestinya, terlepas beraksi di Sukan Olimpik adalah satu kekecewaan besar tetapi Tze Yong akan meletakkan risiko yang besar terhadap kariernya jika kembali beraksi terlalu awal.

"Dia boleh mensasarkan untuk menyertai Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles tetapi kariernya akan musnah jika kecederaan terus berulang.

"Tze Yong masih berusia 23 tahun. Jika dia tidak mudah berputus asa, dia pastinya berpeluang untuk beraksi di Sukan Olimpik 2028," kata Rashid.

BACA LAGI: Nafi letak jawatan, ekor HM lega Pan-gon terus komited latih skuad kebangsaan

Malaysia’s men’s singles Ng Tze Yong in action against Brunei’s Kan Kah Kit in the group match of Asia Team Championships at Setia Alam Convention Centre on Tuesday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Tze Yong bakal terlepas Sukan Olimpik dan Piala Thomas akibat kecederaan. — THE STAR/IZZRAFIQ ALIAS

BACA LAGI: Bakal dibuka untuk Piala Sultan Selangor, ada cadangan jadikan Stadium Merdeka gelanggang rasmi HM

Menurut Rashid lagi, Tze Yong sebenarnya memerlukan masa yang benar-benar cukup untuk memastikan kecederaan belakangnya pulih sepenuhnya.

Malah, kecederaan yang di bahagian belakang walaupun kecil sememangnya memerlukan waktu rehat yang cukup untuk benar-benar pulih.

"Jika satu-satu pemain mengalami kecederaan belakang, dia perlu berdepan rawatan dan proses rehabilitasi yang lebih lama kerana jika kecederaan itu kecil sekali pun, ia sukar untuk dibaiki.

"Biarkan dia pulih sepenuhnya dan ambil masa untuk buat kemunculan semula biarpun ia memerlukan tiga, empat bulan untuk pulih," ujar Rashid.

Perjalanan Tze Yong untuk ke Sukan Olimpik berakhir selepas namanya tidak akan menyertai Kejohanan Badminton Asia yang akan diadakan pada 9 hingga 14 April di China.

Kejohanan yang menawarkan peluang untuk ke Sukan Olimpik itu dilihat berbahaya buat Tze Yong kerana tahap kompetitifnya yang tinggi dan itu boleh memberikan kesan kepada kecederaan pemain tersebut kerana perlu beraksi di tahap terbaik.

Rashid mengatakan jika Tze Yong tetap ke kejohanan tersebut dan kecederaanya kembali berulang, pemain itu berpotensi untuk berdepan persaraan awal dalam kariernya. — THE STAR/K. M. BOOPATHY

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram